Oleh MOHD AZLI ADLAN
MARANG – Sebuah lagi premis yang dipercayai dijadikan pusat pembelajaran kanak-kanak etnik Rohingya di Kampung Telaga Mengkudu, Bukit Payong, di sini menutup operasi selepas tular di media sosial.
Tinjauan Kosmo! mendapati premis dijadikan ‘sekolah’ kanak-kanak warga asing terbabit telah menutup operasi sejak Ahad minggu lalu.
Seorang penduduk, Alias Muda, 69, mendakwa berdasarkan pemerhatiannya sebelum ini, premis milik Majlis Daerah Marang (MDM) tersebut telah dijadikan ‘sekolah’ untuk kanak-kanak Rohingya sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Saya agak pelajarnya seramai hampir 40 orang yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun. Gurunya pula seramai tujuh orang termasuk seorang wanita berusia 30-an yang saya percaya bertindak sebagai guru besar,” dakwanya di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan sebuah premis yang dipercayai dijadikan pusat pembelajaran kanak-kanak Rohingya di Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu ditutup selepas ia tular di media sosial.
Alias yang pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan di kompleks perniagaan milik MDM tersebut mendakwa, sebahagian murid dalam kalangan kanak-kanak Rohingya itu dihantar dengan menaiki kenderaan mewah.
Zaidi Ngah, 56, pula mendakwa kebanyakan penduduk tempatan kurang senang dengan kehadiran ‘sekolah’ tersebut dengan murid Rohingya yah gemar membuang sampah merata-rata. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment