KUALA NERUS – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil inisiatif melepaskan 32 ekor haiwan liar pelbagai spesies di Taman Laut Pulau Redang di sini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pelepasan hidupan liar tersebut bertujuan untuk memperkayakan lagi ekosistem di dalam hutan pulau peranginan tumpuan pelancong terbabit.
“Hidupan liar yang dilepaskan ialah empat ekor burung helang jenis merah dan hindek, pelanduk, landak dan ayam hutan.
“Kita harap kesemua spesies hidupan liar itu dapat berkembang biak demi konservasi dan tatapan generasi masa depan,” katanya ketika ditemui di Taman Laut Pulau Redang di sini kelmarin.
Pelepasan tersebut sebagai menyokong sambutan Hari Laut Sedunia anjuran Jabatan Perikanan dengan kerjasama Aquawalk Sdn. Bhd.
Abdul Kadir berkata, Perhilitan komited melakukan aktiviti pelepasan haiwan liar di habitat bersesuaian demi memastikan kelestarian alam sekitar negara terus terpelihara. Beliau berkata, rusa, kinjang, seladang, tenggiling dan harimau kumbang antara haiwan yang turut dilepaskan di kawasan itu.
“Berdasarkan pemerhatian susulan, aktiviti-aktiviti pelepasan hidupan liar sebelum ini seperti di Pulau Langkawi, Kedah mendapati haiwan liar dilepaskan terbabit mampu beradaptasi dengan baik di habitat baharunya,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perikanan melepaskan 570 ekor anak penyu agar sebagai simbolik sambutan Hari Laut Sedunia.

No comments:
Post a Comment