Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Malaysia Aviation Skills Standard Association (MASSA) menjalin kerjasama strategik dengan firma teknologi dari Korea Selatan, Braindrop bagi meningkatkan keselamatan penerbangan daripada risiko bateri lithium dan bank tenaga di dalam kabin pesawat.
Presiden MASSA, Dr. Nur Zairahtul Amirah Kamallazim berkata, inisiatif tersebut selari dengan peningkatan kesedaran terhadap insiden berkaitan bateri lithium dalam industri penerbangan di peringkat global.
Beliau berkata, MASSA komited membantu pemain industri penerbangan untuk mengurangkan risiko insiden larian haba (litar pintas) bateri di dalam pesawat khususnya melibatkan bank tenaga dan peranti elektronik mudah alih yang dibawa penumpang.
“Kerjasama tersebut bertujuan menilai secara teknikal teknologi kawalan kebakaran dibangunkan Braindrop.
“Firma teknologi Korea Selatan tersebut memiliki produk TNFT Air-Pouch yang merupakan beg kalis api khas direka bagi mengurangkan mitigasi risiko melibatkan insiden larian haba bateri di dalam pesawat,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, beliau ditemui selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung kerjasama strategik terbabit dengan Ketua Pegawai Eksekutif Braindrop, Kim James di sini baru-baru ini.
MASSA adalah pihak berkuasa bagi pensijilan penerbangan dan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kebangsaan.
Selain itu, Nur Zairahtul Amirah berkata, buat masa ini, kerjasama berkenaan masih berada pada peringkat libat urus industri dan penilaian teknikal.
Beliau berkata, buat masa ini, ia tidak melibatkan sebarang pengesahan atau pensijilan rasmi daripada pihak berkuasa.
“Begitupun, MASSA dan Braindrop komited menyokong usaha kesedaran dalam industri, inisiatif penilaian teknikal dan penglibatan lebih meluas bersama pemegang taruh industri penerbangan tempatan.
“Kerjasama ini memberi fokus awal kepada negara ini, dengan potensi pengembangan kerjasama serantau di rantau ASEAN pada masa hadapan,” katanya.

No comments:
Post a Comment