KUALA NERUS – Empat pulau peranginan di Terengganu menjadi rangkaian pulau di taman laut paling popular di negara ini apabila berjaya menarik 351,103 pelancong pada tahun lalu.
Ia adalah Pulau Redang di sini, Perhentian (Besut), Pulau Kapas (Marang) dan Tenggol, Dungun. Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, empat pulau Terengganu terbabit berjaya menarik 64 peratus pelancong domestik dan asing yang melawat pulau peranginan di dalam taman laut seluruh negara dalam tempoh tersebut.
“Seramai 548,598 pengunjung telah direkodkan mengunjungi 56 pulau-pulau yang telah digazetkan di dalam Taman Laut Malaysia pada tahun lalu.
“Sebanyak 64 peratus iaitu 351,103 orang daripada mereka telah mengunjungi kawasan Taman Laut Terengganu merangkumi Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Laut Sedunia peringkat kebangsaan di Pulau Redang di sini semalam.
Adnan berkata, Taman Laut Terengganu digemari pelancong domestik dan asing kerana keindahan terumbu karang, pantai dan ekosistem marinnya.
Beliau berkata, ini membuktikan perlindungan marin amat penting bukan sahaja demi pemuliharaan biodiversiti, malah pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan marin.
Dalam perkembangan sama, Adnan berkata, Jabatan Perikanan melancarkan kempen tidak menggalakkan penggunaan beg plastik di rangkaian pulau peranginan di dalam taman laut di seluruh negara.
Katanya, semua pemegang taruh termasuk pelancong dan operator pelancong seperti pengusaha resort di pulau taman laut seluruh negara digalakkan agar hanya menggunakan bekas makanan mesra alam.
“Beg plastik yang ditinggalkan menjadi pencemaran sekali gus ancaman kepada ekosistem marin dan kemusnahan terumbu karang.
“Ia juga berpotensi menjadi mikroplastik yang mengancam hidupan marin dan manusia,” katanya.
Adnan berkata, buat masa ini, penggunaan bekas makanan mesra alam di pulau taman laut terbabit sekadar galakan kepada pelancong dan pemain industri pelancongan terlibat.
Begitupun beliau tidak menolak kemungkinan Jabatan Perikanan akan mencadangkan peraturan bersesuaian kepada kerajaan sekiranya kempen tersebut kelak tidak mencapai sasaran diharapkan.

No comments:
Post a Comment