Translate

Tuesday, June 23, 2026

Ekonomi Biru imbangi pembangunan, alam sekitar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KERAJAAN Persekutuan pada tahun 2024 mula memberi penekanan terhadap ekonomi biru sebagai antara agenda pembangunan baharu negara. 

Ekonomi biru berpotensi menjadi antara agenda utama negara berikutan kedudukannya sebagai negara maritim yang bukan sahaja dikelilingi laut sepanjang lebih 4,600 kilometer garis pantai malah terletak di laluan perdagangan strategik dunia. 

Ia memiliki potensi tinggi memandangkan secara geografinya Malaysia merupakan negara maritim selain terletak di laluan perdagangan strategik. 

Penekanan ekonomi biru sedang diperkasa menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Biru Malaysia yang sedang dimuktamadkan Kementerian Ekonomi sebagai antara pelengkap strategik Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). 

Istilah ekonomi biru mungkin asing dan masih tidak begitu mesra buat sebahagian besar rakyat negara ini. Dalam bahasa mudah merujuk kepada aktiviti ekonomi melibatkan penggunaan sumber laut dan marin secara lestari yang mengimbangi pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar. 

Ekonomi biru menjadikan lautan bukan sekadar sumber perikanan tradisional sematamata malah sebagai medan penting sektor strategik lain seperti akuakultur moden, pelabuhan dan logistik maritim, tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi marin, pelancongan marin serta penyelidikan saintifik. 

Ia berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor maritim dan teknologi, pendapatan lebih tinggi buat nelayan dan komuniti pesisir dan peluang perniagaan dalam sektor pelancongan, logistik dan akuakultur. 

Ia dijangka memberi pertumbuhan ekonomi baharu khususnya buat Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak. Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Zamri Ibrahim berkata, negara perlu mengambil peluang daripada kerancakan ekonomi biru di peringkat global pada masa ini. 

Beliau berkata, strategi jangka perlu dirangka bagi memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan baharu serta melindungi ekosistem marin. 

“Antara sektor berpotensi untuk dikembangkan ialah perikanan, akuakultur, pelancongan, minyak dan gas, perkapalan, serta tenaga boleh diperbaharui.

 “UMT menubuhkan Pusat Pemajuan Ekonomi Biru bagi memainkan perananan penting dalam kemajuan ekonomi biru,” katanya. 

Ketua Pusat Tadbir Urus Lautan, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Prof. Dr. Wan Izatul Asma Wan Talaat berkata, Pelan Tindakan Ekonomi Biru Malaysia berpotensi menjadi titik perubahan penting dalam pembangunan maritim negara. 

Katanya, begitupun kejayaan pelan tindakan itu amat bergantung kepada kesediaan semua pemegang taruh melaksanakan agenda reformasi diperlukan. 

“Empat elemen utama perlu diberi penekanan iaitu penyelarasan agensi pelaksana yang lebih kukuh, pelaburan dalam teknologi maritim, kerjasama serantau dan penglibatan aktif komuniti pesisir.

 “Tadbir urus lautan negara pada masa ini melibatkan pelbagai kementerian dan agensi bukan sahaja menyebabkan pertindihan fungsi malah kelewatan membuat keputusan dan melemahkan penguatkuasaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment