Translate

Monday, June 29, 2026

Kedai keropok lekor popular terbakar

KUALA TERENGGANU – Sebuah kedai keropok lekor terkenal yang berusia 32 tahun musnah dalam kebakaran sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM500,000 di Kampung Losong Haji Su di sini semalam. 

Kejadian pada pukul 5.30 pagi itu memusnahkan stok keropok lekor vakum dan keropok keping dianggarkan bernilai RM170,000. 

Pemilik Kedai Keropok Paksu Losong, Rohaimi Mohd., 43, berkata, kejadian disedari selepas dia melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) ketika berada di rumahnya di Kampung Losong Masjid pada pukul 5.30 pagi.

 “Sudah menjadi rutin saya akan memeriksa CCTV sebaik bangun tidur. Apabila melihat kedai dalam keadaan gelap, saya berasa tidak sedap hati dan bergegas ke sana,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam. 

Rohaimi berkata, hatinya berdebar sebaik melihat kepulan asap dari premis sebelum memberanikan diri masuk ke dalam kedai tersebut untuk menutup suis utama.

 Lelaki itu juga cuba memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api, tetapi gagal.

 “Api marak dengan begitu cepat menyebabkan saya terpaksa keluar untuk menyelamatkan diri. Saya kemudiannya menghubungi bomba yang tiba tidak lama kemudian.

 “Tidak banyak barangan yang dapat diselamatkan. Kebakaran turut memusnahkan 22 peti sejuk beku yang digunakan untuk menyimpan stok keropok lekor vakum,” katanya. 

Rohaimi mengambil alih perniagaan itu daripada bapa saudaranya sejak 12 tahun lalu. 

Turut musnah dalam kebakaran itu adalah peti sejuk penyimpanan tin minuman yang baru dibeli minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyibbah Taib berkata, seramai 18 anggota terlibat dalam operasi pemadaman.

Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment