Oleh MOHD AZLI ADLAN
MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengadakan libat urus dengan agensi berkaitan bagi meminimumkan kes pendaki sesat di hutan pada masa akan datang.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perhutanan dan pengurusan taman negeri bagi menambah baik peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti pendakian di negara ini.
“Kita telah analisis perkara (SOP pendakian) yang perlu ditambah baik. Perbincangan penambahan SOP dan peraturan telah dimulakan agar insiden sama (pendaki sesat) dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.
Terdahulu, Nor Hisham merasmikan penutup Pertandingan Kawad Kecekapan yang dimenangi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.
Beliau berkata, antara hasil perbincangan awal telah dikuatkuasakan adalah larangan aktiviti pendakian secara ‘dayhike’ atau ‘compressed hike’ di beberapa laluan pendakian berisiko di Perak berkuat kuasa pada 5 Jun lalu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga disiplin dengan bergerak secara berkumpulan dan mengikut trek utama sewaktu melakukan aktiviti pendakian dan jelajah hutan.
“Kita raikan kegiatan riadah lasak yang semakin popular dalam kalangan komuniti. Yang penting persiapan dan disiplin,” katanya.
Pada 23 Mei lalu, pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Batu Putih, Tapah, Perak
Ibu dua anak itu bagaimanapun dijumpai dalam keadaan selamat selepas dua minggu tanpa sebarang kecederaan serius oleh penduduk Orang Asli di Pos Musoh pada Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment