Translate

Wednesday, December 31, 2025

Orang Terengganu jadi mangsa cabutan bertuah 'bank'

 KUALA TERENGGANU – Dua lagi penduduk Terengganu menjadi mangsa penipuan skim cabutan bertuah bank palsu semalam melibatkan kerugian RM19,599.

Setakat ini, sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi sama berjaya memerangkap 12 mangsa di negeri ini dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM259,103.57 sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kesemua mangsa kehilangan wang dalam akaun simpanan mereka setelah menekan pautan kononnya peraduan cabutan bertuah anjuran sebuah bank tempatan terbabit.

“Kejadian terbaharu berlaku semalam melibatkan seorang peniaga lelaki dan guru wanita masing-masing berusia 52 tahun.

“Mereka masing-masing kerugian RM14, 110 dan RM5,499 akibat diperdaya sindiket penipuan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, mangsa pertama yang merupakan peniaga lelaki telah menekan pautan peraduan cabutan bertuah kononnya anjuran sebuah bank tempatan dalam laman Facebook di rumahnya di Pengadang Baru di sini pukul 7.15 pagi semalam.

Beliau berkata, mangsa menerima notifikasi pengeluaran wang simpanannya di tiga akaun bank tersebut tanpa pengetahuannya beberapa minit kemudian.

Azli berkata, mangsa kedua pula hanya menyedari wang simpanannya telah lesap apabila membuat semakan di cawangan bank tersebut di Dataran Austin, Kuala Nerus setelah pengeluaran wang dalam talian menerusi aplikasi di telefon bimbitnya tidak dapat digunakan sejak kelmarin.

Beliau berkata, sebelum itu, pengeluaran wang dalam talian menerusi aplikasi di telefon bimbit guru  wanita terbabti tidak dapat digunakan sejak Sabtu lalu.

"Semakan mendapati wang simpananannya berjumlah RM5,499 di dua akaun bank tersebut telah dkeluarkan tanpa pengetahuannya pada 30 Mei lalu.

"Mangsa percaya dia juga menjadi mangsa sindiket penipuan setelah menekan pautan sama di laman Facebook," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pesara tidur lena, benteng penahan ombak dibina

 

KUALA NERUS - Seorang pesara yang pernah tular sebelum ini selepas banglo 'mahligai cinta' yang dibina buat arwah isterinya hampir ranap dihentam ombak besar pada musim tengkujuh lalu kini boleh tidur lena apabila kediaman tersebut dilindungi benteng penahan ombak.

Pemiliknya, Mohd. Yazit Idris, 66, berkata, struktur tanah di sekeliling banglo itu sudah diperkukuh dengan tambakan bongkah-bongkah batu.

"Projek benteng penahan ombak tersebut sedang giat dibina di sepanjang pantai di perkampungan kami.

"Alhamdulillah hati saya semakin tenang untuk menghadapi musim tengkujuh akan datang dijangka pada bulan Oktober ini," katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini semalam.

Kosmo! pada 11 Januari lalu melaporkan Mohd. Yazit dengan bantuan anak perempuannya dan menantunya membanting tulang membina benteng daripada guni pasir bagi menyelamatkan banglo mereka yang sedang diancam hakisan pantai kronik.

Banglo yang dibina dengan wang persaraan RM600,000 pada 2018 itu amat bererti buat Mohd. Yazit kerana ia merupakan tanda cintanya terhadap arwah isteri, Siti Rashidah Mohd. Yunus yang meninggal diunia akibat penyakit kanser usus pada enam tahun lalu.

Mohd. Yazit berharap benteng penahan ombak itu dapat mengurangkan impak hakisan pantai pada tenpoh Monsun Timur Laut.

Warga emas itu berkata, besar harapannya agar banglo yang dibina buat arwah isterinya terus utuh buat selama-lamanya.

"Sebelum ini, walaupun musim tengkujuh sudah berakhir pada akhir Mac lalu, saya sentiasa berdebar setiap kali berlaku fenomena air pasang besar.

"Hati tidak tenang, tidur tidak nyenyak bila ombak besar kerana bimbang struktur banglo ini semakin terhakis," katanya.

Seludup kambing korban guna van

KUALA TERENGGANU – Taktik sindiket penyeludup cuba membawa masuk 28 ekor kambing secara haram menggunakan van berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di Kampung Teris, Hulu Terengganu dekat sini kelmarin.

Van jenis Toyota Hiace mencurigakan itu berjaya ditahan sepasukan penguat kuasa JPV Terengganu pada pukul 10 pagi.

Pengarah JPV Terengganu, Dr. Anun Man berkata, pihaknya percaya penggunaan van bagi menyeludup kambing itu menjadi modus operandi baharu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Van mencurigakan terbabit telah diekori pasukan penguat kuasa JPV dari Kampung Gong Manok, Pasir Puteh, Kelantan.

“Kenderaan itu diekori sehingga berjaya ditahan tepi jalan di Kampung Teris, Hulu Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Anun berkata, dua lelaki berusia dalam lingkungan 50-an yang disyaki anggota sindiket penyeludupan terbabit turut berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan 28 ekor kambing dan van terbabit dianggarkan RM86,000.

“Kita percaya kambing terbabit diseludup masuk memandangkan haiwan ternakan itu mendapat permintaan tinggi sebagai ibadah korban pada sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

“Tambah membimbangkan sebahagian 28 ekor kambing itu mempunyai simptom batuk, selesema, dan mulut berbuih yang boleh menjangkiti manusia dan haiwan lain,” katanya. 

Anun berkata, penyakit tersebut dibimbangi boleh menjangkiti manusia dan haiwan lain sekiranya dijadikan ibadah korban.

Jamuan akhir tahun Kelab Staf SK Sungai Petai

 


Sebahagian ahli Kelab Staf Sekolah Kebangsaan Sungai Petai bergambar kenangan ketika majlis jamuan akhir tahun di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Jalan laut jadi pilihan sindiket dadah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan mengubah laluan apabila menjadikan jalan laut untuk menyeludup barang terlarang itu ke negara ini. 

Tindakan itu dilakukan selepas sindiket berdepan kesukaran untuk menembusi sempadan negara melalui jalan darat disebabkan pemeriksaan ketat di pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan sejak hujung tahun lalu. 

Antara jalan laut kerap digunakan untuk kegiatan haram itu adalah perairan Pantai Timur yang merupakan sebahagian Laut China Selatan. 

Syabu, heroin dan pil yaba merupakan antara dadah popular yang diseludup masuk ke negara ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahudddin Che Ali berkata, bekalan dadah itu dibawa masuk dari kawasan segitiga emas di sempadan Thailand, Vietnam dan Laos.

"Bekalan dadah itu kemudian dibawa ke perairan Pantai Timur dengan mengggunakan bot dipercayai dari Vietnam.

"Sebaik menghampiri kawasan darat di Pantai Timur termasuk Terengganu, dadah tersebut akan dipunggah individu tempatan menggunakan bot laju," katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Mohd. Salahuddin memberitahu, selain kawasan darat seperti tebing sungai dan pesisir pantai, sindiket dadah juga menjadikan beberapa pulau-pulau yang tidak berpenghuni di sekitar perairan Pantai Timur sebagai lokasi transit.

Jelas beliau, pulau 'hantu', tebing sungai dan pesisir pantai menjadi lokasi pembungkusan semula dadah.

Bagi pasaran tempatan, barangan itu dibawa menggunakan kereta atau pacuan empat roda ke destinasi yang ditetapkan.

"Sebahagian dadah itu turut dihantar ke negara ketiga bagi pasaran antarabangsa dipercayai mengggunakan yatch (kapal persiaran," katanya.

Mohd. Salahuddin berkata, rakyat tempatan menerima upah mencecah puluhan ribu ringgit untuk membantu sindiket dadah tersebut.

Justeru, katanya, pemantauan di perairan negara akan diperketat bagi memastikan ia tidak diceroboh sindiket dadah.

"Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama aensi penguatkuasaan lain tidak akan membiarkan perairan negara ditembusi untuk kegiatkan penguatkuasaan.

"Kita juga tidak mahu negara dilabel sebagai pusat transit pengedaran dadah antarabangsa.


Wakil SDAR ke Olimpiad Sains dan Matematik Antarabangsa Asia Tenggara


 Kumpulan pelajar Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR) dari Seremban, Negeri Sembilan yang menyertai pertandingan Olimpiad Sains dan Matematik Antarabangsa Asia Tenggara di Osaka, Jepun baru-baru ini.

Staf syarikat bas ekspres maut, kereta rempuh pokok

 

KUALA NERUS – Seorang pekerja sebuah syarikat bas ekspres maut selepas kereta yang dinaiki bersama rakan sekerja merempuh sebatang pokok berhampiran Balai Polis Gong Badak di sini semalam.

 Nahas pada pukul 6.10 pagi itu meragut nyawa Ahmad Zabani, 25, yang merupakan pegawai operasi syarikat tersebut. 

Seorang lagi mangsa, Azizi Kamarudin, 38, yang bekerja sebagai mekanik di syarikat sama dilaporkan cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ketika kejadian, mereka dipercayai dalam perjalanan ke pusat pelepasan utama bas ekspres tersebut di Gong Badak di sini.

 “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta syarikat jenis Proton Persona yang dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan hilang kawalan secara tiba-tiba. 

“Kenderaan itu kemudian terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang pokok yang berada di tepi jalan tersebut,” katanya di sini semalam. 

Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tersebut mengesahkan Ahmad sudah meninggal dunia. “Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Sultan Zainal Abidin di sini untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Pegawai tadbir rugi RM11,717 dipercaya skim forex palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang pegawai tadbir untuk meraih keuntungan berganda daripada skim pelaburan matawang asing atau forex bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula yang kerugian RM11,717.

Lelaki berusia 58 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.08 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki tersebut tertarik dengan iklan skim pelaburan forex berkenaan yang dilihatnya di laman Facebook pada 10 Disember lalu.

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan individu didakwa penganjur skim pelaburan forex berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Dia telah dijanjikan kononnya keuntungan hampir empat kali ganda dengan cuma bermodalkan RM300,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, pegawai tadbir tersebut semakin teruja apabila ‘memperolehi keuntungan RM11,000 dalam tempoh cuma dua jam.

Beliau berkata, lelaki berkenaan turut mengikut arahan membuat pembayaran tambahan kononnya bagi pengeluaran keuntungan berkenaan.

“Pembayaran itu dilakukan mangsa menerusi transaksi ke dalam tiga akaun bank diberi suspek antara 11 Disember hingga 15 Disember lalu namun tidak memperolehi apa-apa pulangan dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

JPJ perinci tindakan penguatkuasaan tambahan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan tindakan penguatkuasaan tambahan bakal diambil terhadap syarikat pengendali bas persiaran terlibat dalam insiden mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berikutan laporan awal insiden terbabit yang dikeluarkan kelmarin.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, sebelum ini, syarikat pengangkutan sama telah menghadapi tindakan pembatalan permit untuk beroperasi.

“Semalam (kelmarin) sudah lihat laporan awal dikeluarkan Kementerian Pengangkutan. Ada beberapa tindakan sedang kita ambil terutama berkaitan pengendali syarikat.

“Bagi pemandu (bas) pula, kita biarkan proses di mahkamah berjalan,” katanya selepas merasmikan program MyLesen B2 peringkat Terengganu di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan mendapati bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dipandu pada kelajuan 117.6 kilometer sejam (km/j) iaitu melebihi dua kali ganda had ditetapkan sewaktu kejadian.

Aedy Fadly berkata, JPJ bersedia bergantung bahu dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi menambah baik ekosistem keselamatan jalan raya berdasarkan syor diberikan pasukan petugas khas berkenaan.

Beliau berkata, laporan awal itu telah membangkitkan banyak isu yang perlu diberi perhatian bagi memantapkan lagisistem keselamatan jalan raya kebangsaan.

“Perubahan yang menyeluruh perlu dibuat melibatkan keseluruhan agensi bukan sahaja JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tambahnya.

Terengganu kembali dilanda banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Terengganu yang baru pulih daripada banjir gelombang kedua pada minggu lalu kembali terjejas hari ini melibatkan daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.

Setakat ini, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di ketiga-tiga daerah tersebut membabitkan 103 mangsa daripada 24 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, Kuala Terengganu paling terjejas dengan 61 mangsa daripada 14 keluarga telah berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering.


“Seramai 29 mangsa daripada lapan keluarga pula kini berlindung di PPS SK Kompleks Mengabang Telipot.

“Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan pula dihuni 13 mangsa daripada dua keluarga,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBNT berkata, pemantauan sedang dilakukan memandang episod hujan lebat berpanjangan dijangka berterusan sehingga Isnin ini. – KOSMO! ONLINE

3 lukisan arwah Mustaqim seolah gambaran nahas

 

BESUT – Tiga lukisan tentang bas, jalan raya dan tulisan kreatif berkaitan kematian peninggalan Muhammad Mustaqim Rosde, 21, seolah-olah gambaran nahas yang mengorbankan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dan 14 rakan sekampus lain di Gerik, Perak pada minggu lalu.

 Ibunya, Juariah Abdul Rahman, 48, berkata, dia dan suami, Rosde Yaakub, 58, terkejut menemukan tiga lukisan terbabit di dalam bilik tidur arwah anaknya beberapa hari lalu. 

“Tiga lukisan itu merupakan sebahagian daripada lebih 100 koleksi arwah yang tersimpan rapi dalam fail di bilik tidurnya. 

“Di belek betul-betul, lukisan sebuah bas dan pemandangan jalan raya berlatar belakang hutan dan besi penghadang jalan itu seakan-akan gambaran kemalangan yang meragut nyawa dia dan rakan-rakannya pada 9 Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Nibung, Hulu Besut di sini semalam. 

Terdahulu, dia dan suami disantuni Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Juariah berkata, satu lagi lukisan tulisan kreatif, berkaitan mati yang ditinggal arwah Muhammad Mustaqim membuatnya sebak. 

Katanya, walaupun kaitan lukisan tersebut dan tragedi hanya kebetulan, ia khazanah berharga peninggalan arwah anaknya yang perlu dijaga rapi sebagai kenangan berharga.

 “Kami memang tahu arwah (Muhammad Mustaqim) gemar melukis, tetapi tidak sangka dia simpan koleksi lebih 100 lukisan di dalam bilik tidurnya. 

“Semuanya diketahui apabila saya dan suami mengemas bilik tidurnya beberapa hari selepas jenazah anak kami itu selamat dikebumikan,” katanya. 

Sementara itu, Rosde berkata, beberapa individu telah menyatakan minat untuk membeli lukisan peninggalan Muhammad Mustaqim sejak beberapa hari lalu. 

Begitupun, dia dan isteri keberatan untuk menjual kenangan berharga peninggalan anak lelakinya tersebut. 

“Biarlah lukisan-lukisan itu kekal tersimpan dalam fail di dalam bilik tidurnya. 

“Dia (Muhammad Mustaqim) memang gemar melukis sejak kecil dan bercita-cita menjadi guru Pendidikan Seni selepas tamat pengajian di UPSI tetapi hasratnya tidak kesampaian,” katanya.

EPIC bersih Pantai Batu Burok 2

 


Sebahagian 130 sukarelawan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad yang berjaya mengutip 250 kilogram sisa sampah di Pantai Batu Burok 2, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Monsoon Fun Ride PDRM Terengganu


 :Sebahagian daripada 3,000 peserta yang menyertai Program Berbasikal Santai Monsun Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu di pekarangan Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

BAP bantu keluarga anak ramai

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR, AZAHAR HASHIM dan ROHANA MOHD. NAWI 

PETALING JAYA – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada lebih 5.2 juta murid sekolah kerajaan yang akan disalurkan kepada ibu bapa bermula 11 Januari tahun depan disifatkan amat membantu terutama mereka yang mempunyai ramai anak masih bersekolah. 

Penyerahan secara tunai di sekolah itu juga mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa. Inisiatif kerajaan ini memperuntukkan RM800 juta sebagai bantuan one-off bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak-anak. 

Di Ipoh, Perak seorang penjawat awam, Suhaili Abd. Razak, 39, berkata, BAP 2026 yang diberikan sehari sebelum sesi persekolahan bermula akan digunakan untuk membeli buku latihan tambahan atau alat-alat tulis bagi anak-anaknya.

 “Saya mempunyai dua anak yang bersekolah, jadi biasanya gaji diterima pada bulan sebelum persekolahan bermula digunakan untuk memenuhi keperluan anak-anak. 

“Ada masanya saya terpaksa habiskan ratusan ringgit bagi membeli barangan keperluan seperti pakaian persekolahan anak-anak kerana mereka kini berada dalam fasa membesar dengan cepat,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Di Alor Setar, Kedah pula, seorang ibu, Robiatul Adawiyah Abdullah, 34, berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.

Katanya, dia mempunyai empat anak dan tiga daripada mereka masih bersekolah rendah.

 “Saya berharap bantuan ini dapat diteruskan pada masa akan datang. “BAP ini amat baik terutama bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak seperti saya. Ia sangat membantu dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak untuk sesi baharu nanti,” katanya.

 Menurutnya, dia masih belum membuat sebarang persiapan dan bercadang menunggu bantuan itu disalurkan. 

Di Kota Bharu, Kelantan, Nik Shariza Nik Abdullah, 43, memberitahu, dia sudah membeli beberapa kelengkapan sekolah anak-anaknya dan duit BAP itu nanti akan digunakan bagi membeli buku-buku sekolah dan tambahan alat tulis untuk mereka 

“Perbelanjaan banyak tertumpu kepada anak sulung kerana dia bakal memasuki sekolah menengah tahun depan,” katanya. 

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang penjawat awam berkata, dia akan mengambil cuti ketika serahan tunai BAP di sekolah. 

“Serahan BAP secara tunai lebih mudah tanpa kami perlu membuang masa ke bank selain boleh bertemu guru anak-anak dan bincangkan hal pelajaran,” katanya. 

 Siti Jamilah Jamil, 42, pula mengakui kos persekolahan empat anaknya yang berada dalam darjah satu hingga tingkatan empat pada tahun depan agak tinggi. 

Katanya, inisiatif kerajaan menerusi pemberian BAP tersebut amat melegakan dia dan suami. 

“Kami sudah merancang bajet berhemat memandangkan bulan Ramadan bakal tiba kira-kira sebulan selepas sekolah kembali dibuka dan ketika itu banyak benda kena beli,” katanya.

Mangsa banjir Terengganu meningkat 468 orang

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 468 mangsa daripada 116 keluarga membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Dungun.

Mereka kini berlindung di empat pusat pemindahan sementara di ketiga-tiga daerah terbabit.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, Kuala Nerus menjadi daerah paling terjejas membabitkan 372 mangsa daripada 91 keluarga.

“Kesemua mangsa tersebut berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Kompleks Mengabang Telipot.

“Seramai 83 mangsa daripada 23 keluarga pula berada di PPS SK Chendering, Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Menurut jurucakap itu, PPS Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan, Dungun pula mempunyai 13 mangsa daripada dua keluarga.

Beliau berkata, pemantauan sedang diadakan memandangkan hujan masih turun di beberapa kawasan di Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, December 30, 2025

TFC Direct dibuka di LTSM

 

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) membuka butik jenama rasmi kelab bola sepak tersebut, TFC Direct di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini semalam. 

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata, TFC Direct menawarkan pelbagai produk rasmi dan eksklusif pasukan berkenaan seperti jersi, topi, mafla, baju-T dan pelbagai cenderamata lain. 

“Pembukaan TFC Direct di lapangan terbang merupakan langkah strategik bagi meningkatkan lagi keterlihatan jenama kelab serta memudahkan penyokong mendapatkan produk rasmi. 

“Lapangan terbang merupakan pintu masuk utama ke Terengganu yang memberi peluang kepada TFC mendekati peminat bola sepak dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya di LTSM.

 Terdahulu beliau menghadiri majlis pembukaan rasmi TFC Direct yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

 Sheikh Farouk berkata, pembukaan TFC Direct juga langkah kelab bola sepak berkenaan untuk mengembangkan lagi nilai komersialnya. 

Jelasnya, TFC berhasrat memperluaskan jangkauan komersial kelab selain mengukuhkan lagi hubungan dengan penyokong domestik mahupun antarabangsa menerusi butik terbabit. 

“Harapan kita TFC Direct dapat menyumbang kepada penjanaan pendapatan kelab. 

“Selain beroperasi secara fizikal di LTSM setiap hari, TFC Direct juga menawarkan perkhidmatan pembelian secara dalam talian,” katanya.

Pekerja syarikat bas ekspres maut, kereta rempuh pokok


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang kakitangan sebuah syarikat bas ekspres maut, manakala seorang lagi parah selepas kereta syarikat yang dinaiki mereka merempuh sebatang pokok berhampiran Balai Polis Gong Badak di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 6.10 pagi itu, mangsa, Ahmad Zabani, 25, yang merupakan pegawai operasi syarikat meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang lagi mangsa, Azizi Kamarudin, 38, mekanik syarikat sama parah pada kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke pusat pelepasan utama bas ekspres tersebut di Gong Badak di sini.

“Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang dari bengkel syarikat sama yang terletak di Kemaman. Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, kereta tersebut kemudian merempuh pokok di tepi jalan. Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan Ahmad sudah meninggal dunia.

Azizi pula dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Sultan Zainal Abidin untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE

2,467 wanita jadi mangsa keganasan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Kes keganasan rumah tangga dalam masyarakat masih membimbangkan dengan 2,467 kes telah direkodkan di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

 Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ia termasuk 104 kes yang dilaporkan di Terengganu. 

“Walaupun menurun berbanding 130 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu ia tetap perlu diberi perhatian berdasarkan nisbah populasi penduduk di negeri ini. 

“Bagi tahun lalu, 379 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Terengganu manakala 7,116 kes pula di seluruh negara,” katanya di Kuala Ibai di sini semalam. 

Terdahulu beliau merasmikan program Advokasi Kesejahteraan Rumah Tangga untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga. 

Noraini berkata, banyak lagi kes keganasan rumah tangga dipercayai tidak dilaporkan kerana wanita yang menjadi mangsa tidak berani tampil disebabkan perasaan takut dan malu serta tidak tahu cara mendapatkan pertolongan. 

Beliau berkata, sesetengah wanita telah dimanipulasi pemikiran mereka oleh pelaku sehingga mereka sendiri tidak sedar telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga. 

“Penderaan dan keganasan dalam rumah tangga bukan sahaja secara fizikal tetapi juga emosi, seksual, ekonomi dan psikologi. 

“Kebanyakannya dilakukan oleh orang dikenali seperti suami, bekas suami atau teman lelaki yang memberi kesan trauma berpanjangan kepada mental dan emosi kepada wanita terbabit,” katanya.

 Noraini berkata, kementerian secara proaktif meningkatkan kesedaran keganasan rumah tangga bukan sekadar isu peribadi atau hal rumah tangga semata-mata tetapi kesalahan jenayah. 

Beliau berkata, ia juga melanggar hak asasi manusia yang menjadi ancaman senyap terhadap kesejahteraan institusi kekeluargaa

Rugi hampir RM1 juta tertipu tender IPT

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga berputih mata selepas kerugian RM932,300 akibat diperdaya sindiket penipuan berhubung tender pembekalan alat jana kuasa solar kepada sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak wujud. 

Lelaki berusia 52 tahun itu yang menyedari telah menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini pada pukul 11.53 malam kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pemilik syarikat pembinaan dan pembekalan itu telah dihubungi suspek yang mengaku kononnya wakil IPT milik kerajaan Terengganu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp pada 28 Mei lalu. 

“Mangsa telah ditawarkan kononnya tender tertutup membekal dan menghantar alat jana kuasa mudah alih jenis eco flow kepada IPT berkenaan. 

“Dia yang berminat telah menghantar maklumat berhubung syarikatnya kepada suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. 

Azli berkata, peniaga terbabit kemudiannya mengikut arahan membuat pembayaran deposit ke dalam dua akaun bank diberi suspek. 

Beliau berkata, pembayaran tersebut dilakukan lelaki berkenaan menerusi lapan transaksi. 

“Selain wang syarikat, mangsa turut menggunakan simpanannya untuk projek tender terbabit.

 “Dia kemudiannya terkejut dan menyedari tertipu apabila semakan dengan pengurusan IPT yang terletak di Kemaman tersebut mendapati penawaran tender pembekalan itu sebenarnya tidak pernah wujud,” katanya. 

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Banjir Terengganu semakin pulih, tinggal 138 mangsa terjejas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga yang kembali melanda Terengganu sejak kelmarin semakin memulih dengan hanya tinggal 138 mangsa daripada 35 keluarga di dua daerah iaitu Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, Dungun pula sudah pulih daripada banjir pada malam tadi.

Beliau berkata, kesemua 13 mangsa daripada dua keluarga yang sebelum ini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 8 malam.

“Kuala Nerus masih mempunyai 78 mangsa daripada 20 keluarga di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Kompleks Mengabang Telipot.

“Seramai 60 mangsa daripada 15 keluarga pula masih berada di PPS SK Chendering, Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat (JPBNT) berkata, situasi banjir di Terenggganu dijangka menunjukkan trend menurun memandangkan cuaca hari ini diramal mendung. – KOSMO! ONLINE

Dua lagi pelajar MRSM buli direman

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Dua pelajar tingkatan tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan membuli dua rakan sekolah mereka Selasa lalu. 

Perintah reman terhadap remaja lelaki berusia 15 tahun terbabit dibenarkan oleh Majistret Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, kedua-dua pelajar turut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaaan.

Setakat ini, seramai tujuh pelajar MRSM berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan kes buli membabitkan dua mangsa di asrama institusi pendidikan tersebut pada Selasa lalu.

 “Ia termasuk lima pelajar berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun yang telah menerima perintah reman selama tiga hari di mahkamah sama semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam. 

Kosmo! semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan dua MRSM Besut mendakwa mengalami kesakitan pada bahagian perut dan rusuk serta belakang badannya lebam akibat ditumbuk dan ditampar oleh suspek-suspek. 

Mangsa turut mendakwa dipaksa duduk separa mencangkung sambil kepalanya diletakkan selipar selama kira-kira 40 minit. 

Seorang lagi pelajar tingkatan dua MRSM sama kemudiannya mendakwa turut dibuli pelajar senior sama sehingga mengalami kesakitan pada kedua-dua belah kaki. 

Ia membawa kepada penahanan dua lagi suspek pada pukul 4 petang kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua pelajar MRSM yang terlibat dalam kes membuli berkenaan telah dikenakan tindakan buang serta-merta.

Peserta RXZ Members 7.0 dilindungi pelan kemalangan diri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penganjur RXZ Members 7.0 menjalin kerjasama dengan syarikat takaful, Takafulgo Venture menawarkan pelan perlindungan kemalangan diri buat peserta perhimpunan motosikal Yahama RXZ terbesar tersebut yang dijadual berlangsung Ogos depan.

Pengarah program RXZ Members Official, Faizal Mat Ali berkata, ia inisiatif pihaknya bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan perlindungan buat peserta program tersebut dalam kalangan penunggang motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita mengambil pengajaran daripada enam penganjuran sebelum ini, walaupun ramai berhati-hati dan penganjur sering memberi ingatan, perjalanan jauh meningkatkan risiko kemalangan termasuk meragut nyawa.

“Sehubungan itu, kita terus berusaha meningkatkan lagi tahap keselamatan dan perlindungan peserta yang bakal memenuhi Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 hingga 24 Ogos depan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mewakili RXZ Members Original menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TakafulGo Venture yang diwakili Pengarahnya, Irwan Irma Nizam Mahmud.

Faizal berkata, penganjuran RXZ Members 7.0 dijangka menarik penyertaan 100,000 peserta berbanding 80,000 orang pada edisi tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau menyeru peminat Yamaha RXZ yang bakal menyertai perhimpunan tahunan tersebut mengambil peluang dengan menyertai pelan perlindungan kemalangan diri ditawarkan TakafulGo Venture terbabit.

Sementara itu, Irwan Irma Nizam berkata, kerjasama tersebut merupakan inisiatif TakafulGo Venture yang merupakan anak syarikat Etiqa Takaful Berhad membantu peminat permotoran khususnya Yamaha RXZ mendapat perlindungan tambahan. – KOSMO! ONLINE

5 penuntut MRSM kena reman 3 hari

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seramai lima pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes membuli rakan sekolah mereka sehingga cedera pada Selasa lalu. 

Perintah reman terhadap semua remaja lelaki berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun tersebut dibenarkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah, Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret, di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu berkata, kesemua suspek disyaki membuli seorang pelajar lelaki tingkatan dua di asrama MRSM berkenaan pada Selasa lalu. 

Beliau berkata, siasatan awamendapati mangsa berusia 14 tahun terbabit mendakwa dipaksa duduk separa mencangkung sambil kepalanya diletakkan selipar selama kira-kira 40 minit pada pukul 11.30 malam, hari kejadian. 

“Remaja lelaki berkenaan juga mendakwa ditumbuk pada bahagian perut selain ditampar di mukanya. “Ia menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian perut dan rusuk serta belakang badannya lebam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Azamuddin berkata, kesemua suspek ditahan berikutan laporan polis dibuat mangsa pada pukul 6.48 petang kelmarin. 

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. 

Difahamkan kejadian buli itu telah dileraikan seorang warden asrama bertugas sebelum membawa mangsa dan kesemua suspek ke pejabatnya. 

Ibu bapa mangsa yang dihubungi kemudiannya telah membawa anak mereka ke sebuah hospital berhampiran untuk rawatan.

Banjir merebak ke Dungun selepas ‘badai’ Kemaman

KUALA TERENGGANU – Banjir yang menjejaskan Kemaman sebelum ini telah merebak ke daerah bersebelahan, Dungun dengan mangsa keseluruhan melonjak kepada 902 mangsa daripada 248 keluarga yang berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua daerah tersebut sehingga pukul 5 petang semalam. 

Selain itu, Hulu Terengganu menjadi daerah terkini yang turut terjejas banjir dengan lima mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di PPS. 

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, Kemaman kekal daerah paling terjejas melibatkan 637 mangsa daripada 171 keluarga. 

“Mereka berada di sembilan PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Dewan Sivik Air Putih dan Dewan Sivik Felda Seberang Tayor.

 “Selain itu PPS juga dibuka di Dewan Orang Ramai Batu 14, Dewan Ketengah Dadong, Masjid Kampung Batu 16 Tebak dan Dewan Semai Bakti Felda Neram 2,” katanya di sini semalam. 

Dalam pada itu, di Hulu Terengganu, penduduk Kampung Pengkalan Ajal mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Sukarelawan Banjir (SSB) bagi membantu penduduk sewaktu banjir musim tenkujuh. 

Ketua SSB, Alias Abdullah, 56, berkata, skuad yang dianggotai 60 sukarelawan tersebut berperanan membantu penduduk setempat berpindah dengan selamat ke PPS berhampiran. 

“Kita menggunakan 22 bot gentian kaca milik sukarelawan itu sendiri bagi memastikan proses pemindahan mangsa banjir dapat dilakukan secara selamat, tersusun dan pantas. 

“Sukarelawan SSB juga berperanan memantau rumah-rumah penduduk yang ditinggalkan sewaktu mereka berada di PPS,” katanya di Kampung Pengkalan Ajal di sini semalam. 

Alias berkata, sukarelawan SSB dibahagikan kepada lima zon bagi melancarkan lagi operasi menyelamat. 

Beliau berkata, setiap bot hanya dibenarkan membawa tiga penumpang termasuk seorang pemandu bagi mengelakkan insiden tidak diingini. 

“SSB juga akan menyalurkan maklumat awal amaran banjir kepada penduduk kampung.

 “Kebiasaannya sekiranya perkampungan di kawasan hulu seperti Kampung Lubok Perik dan Kampung Peneh dilanda banjir, perkampungan kami akan menyusul kemudian,” katanya

Tak perlu lagi ke bank ambil RM150

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN, LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR, AZAHAR HASHIM dan ROHANA MOHD. NAWI

PETALING JAYA – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada lebih 5.2 juta murid sekolah kerajaan yang akan di­salurkan kepada ibu bapa bermula 11 Januari tahun depan disifatkan amat membantu terutama mereka yang mempunyai ramai anak masih bersekolah. 

Penyerahan secara tunai di sekolah itu juga mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa. Inisiatif kerajaan ini memperuntukkan RM800 juta sebagai bantuan one-off bagi meringan­kan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak-anak.

 Di Ipoh, Perak seorang penjawat awam, Suhaili Abd. Razak, 39, berkata, BAP 2026 yang diberikan sehari sebelum sesi persekolahan bermula akan digunakan untuk membeli buku latihan tambahan atau alat-alat tulis bagi anak-anaknya.

 “Saya mempunyai dua anak yang bersekolah, jadi biasanya gaji diterima pada bulan sebelum persekolahan bermula digunakan untuk memenuhi keperluan anak-anak. 

“Ada masanya saya terpaksa habiskan ratusan ringgit bagi membeli barangan keperluan seperti pakaian persekolahan anak-anak kerana mereka kini berada dalam fasa membesar dengan cepat,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Di Alor Setar, Kedah pula, seorang ibu, Robiatul Adawiyah Abdullah, 34, berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.

Katanya, dia mempunyai empat anak dan tiga daripada mereka masih bersekolah rendah.

 “Saya berharap bantuan ini dapat diteruskan pada masa akan datang. “BAP ini amat baik terutama bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak seperti saya. Ia sangat membantu dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak untuk sesi baharu nanti,” katanya.

 Menurutnya, dia masih belum membuat sebarang persiapan dan bercadang menunggu bantuan itu disalurkan. 

Di Kota Bharu, Kelantan, Nik Shariza Nik Abdullah, 43, memberitahu, dia sudah membeli beberapa kelengkapan sekolah anak-anaknya dan duit BAP itu nanti akan digunakan bagi membeli buku-buku sekolah dan tambahan alat tulis untuk mereka 

“Perbelanjaan banyak tertumpu kepada anak sulung kerana dia bakal memasuki sekolah menengah tahun depan,” katanya. 

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang penjawat awam berkata, dia akan mengambil cuti ketika serahan tunai BAP di sekolah. 

“Serahan BAP secara tunai lebih mudah tanpa kami perlu membuang masa ke bank selain boleh bertemu guru anak-anak dan bincangkan hal pelajaran,” katanya. 

 Siti Jamilah Jamil, 42, pula mengakui kos persekolahan empat anaknya yang berada dalam darjah satu hingga tingkatan empat pada tahun depan agak tinggi. 

Katanya, inisiatif kerajaan menerusi pemberian BAP tersebut amat melegakan dia dan suami. 

“Kami sudah merancang bajet berhemat memandangkan bulan Ramadan bakal tiba kira-kira sebulan selepas sekolah kembali dibuka dan ketika itu banyak benda kena beli,” katanya.

41 kampung berisiko dilanda banjir lagi

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Penduduk di 41 perkampungan yang terletak di 12 muara sungai di lima daerah di Terengganu berisiko kembali dilanda banjir berikutan fenomena air pasang besar selama seminggu hingga Rabu depan. 

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata, ia melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Marang dan Setiu. 

Katanya, kesemua 41 perkampungan itu itu berisiko banjir jika hujan lebat berteru san bertembung dengan feno mena air pasang besar sepan jang tempoh tersebut. 

“Lokasi berisiko yang dikenal pasti di Kuala Terengganu ialau Kampung Kubang Ikan, Kam pung Kuala Ibai, Taman Pur nama, Kampung Pulau Rusa, Kampung Sekati dan Kampung Pulau Ketam.

 “Kawasan lain ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kam pung Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu dan Kampung Tanjung Gelam di Kuala Nerus juga berisiko banjir,” katanya semalam. 

Menurutnya, pemantauan juga dilakukan di Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alor Makbah dan Kam pung Bijangga, Dungun. 

Katanya, kawasan lain di Dungun yang dikhuatiri terjejas ialah Kampung Sungai Buaya, Kampung Sura, Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah dan Kampung Durian Mentangau. 

“Bagi daerah Marang pula, lokasi berisiko ialah Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kam pung Rhu Rendang, Kampung Mercang dan Kampung Pulau Rusa Baru. 

“Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kam pung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikiri dan Kampung Telaga Papan juga dikhuatiri terjejas,” katanya.

Pegawai tadbir rugi RM11,717 diperdaya skim forex palsu

 

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang pegawai tadbir untuk meraih keuntungan berganda daripada skim pelaburan matawang asing atau ‘forex’ bukan sahaja tidak kesampaian, malah kerugian RM11,717.

 Lelaki berusia 58 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.08 tengah hari, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki tersebut tertarik dengan iklan skim pelaburan ‘forex’ berkenaan yang dilihatnya di laman Facebook pada 10 Disember lalu. 

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan individu didakwa penganjur skim pelaburan forex berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp. 

“Dia telah dijanjikan kononnya keuntungan hampir empat kali ganda dengan cuma bermodalkan RM300,” katanya di sini semalam. 

Azli berkata, pegawai tadbir tersebut semakin teruja apabila ‘memperolehi keuntungan RM11,000 dalam tempoh cuma dua jam. 

Beliau berkata, lelaki berkenaan turut mengikut arahan membuat pembayaran tambahan kononnya bagi pengeluaran keuntungan berkenaan.

 “Pembayaran itu dilakukan mangsa menerusi transaksi ke dalam tiga akaun bank diberi suspek antara 11 Disember hingga 15 Disember lalu. 

“Begitupun dia akhirnya menyedari tertipu tidak memperolehi apa-apa pulangan dijanjikan,” katanya. 

Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Banjir Terengganu pulih

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak kelmarin pulih sepenuhnya sebentar tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, kesemua 138 mangsa daripada 35 keluarga tersebut sebelum ini berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Beliau berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 4 petang tadi.

“Sebelum ini, seramai 78 mangsa daripada 20 keluarga berada di dua PPS
iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Kompleks Mengabang Telipot, Kuala Nerus.

“Seramai 60 mangsa daripada 15 keluarga pula sebelum ini berada di PPS SK Chendering, Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu banjir gelombang ketiga yang menjejaskan Terengganu sejak kelmarin telah menjejaskan lebih 460 mangsa di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun. – KOSMO! ONLINE

Monday, December 29, 2025

Empat set EMU ECRL tiba Disember ini

DUNGUN - Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) bakal menerima empat set Electric Multiple Unit (EMU) merangkumi masing-masing dua tren penumpang dan lokomotif bagi operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, keempat-empat EMU terbabit akan menjalani sesi ujian sulung pada Jun tahun depan.

"Secara keseluruhan, kita akan memperoleh 11 EMU tren penumpang dan 20 tren lokomotif yang akan diterima secara berfasa.

"Baki sembilan lagi EMU tren penumpan dijadual tiba pada bulan April dan Mei tahun hadapan," katanya selepas merasmikan Mega Fiesta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik dan Kolej Komuniti di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini semalam.

Darwis berkata, projek ECRL yang telah mencapai kemajuan 84.59 peratus kini berada di landasan tepat untuk disiapkan mengikut jadual pada akhir tahun depan, sebelum mula beroperasi 1 Januari 2027.

Beliau berkata, terowong terpanjang ECRL yang merentasi Pahang dan Selangor sejauh 16.3 kilometer juga telah berjaya ditembusi sepenuhnya pada Sabtu lalu.

"Kini keseluruhan jajaran ECRL bermula dari Kota Bahru, Kelantan hingga Pelabuhan Klang, Selangor telah bersambung.

"Ia perkembangan baik yang ditunggu rakyat, berbaki sekali raya (Aidilfitri) lagi mereka boleh menaiki ECRL mulai 1 Januari 2027," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Darwis berkata, seramai 210 pelajar institusi pengajian tinggi termasuk dari PSMZA telah dihantar untuk menjalani latihan insentif selama setahun di Liuzhou, China sebagai persediaan pengoperasian ECRL.

Kesemua pelajar terbabit akan diserap masuk sebagai tenaga kerja ECRL apabila projek mega itu mula beroperasi kelak.

"Ia komitmen MRL menyokong aspirasi TVET kebangsaan, sekaligus memastikan anak tempatan terlibat secara langsung dalam pengoperasian ECRL," katanya.

Peserta RXZ Members dilindungi insurans

KUALA TERENGGANU – Penganjur RXZ Members 7.0 menjalin kerjasama dengan syarikat takaful, Takafulgo Venture dalam menawarkan pelan perlindungan kemalangan diri buat peserta perhimpunan motosikal Yahama RXZ terbesar dijadual Ogos depan. 

Pengarah program RXZ Members Official, Faizal Mat Ali berkata, inisiatif ini bagi meningkatkan lagi tahap perlindungan buat peserta program dalam kalangan penunggang motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.

 “Kita mengambil pengajaran daripada enam penganjuran sebelum ini, walaupun ramai berhati-hati dan penganjur sering memberi ingatan, perjalanan jauh meningkatkan risiko kemalangan termasuk meragut nyawa,” katanya semalam. 

Terdahulu beliau mewakili RXZ Members Original menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TakafulGo Venture yang diwakili Pengarahnya, Irwan Irma Nizam Mahmud. 

Faizal berkata, penganjuran RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 hingga 24 Ogos depan dijangka menarik penyertaan 100,000 peserta berbanding 80,000 orang pada edisi tahun lalu. 

Sementara itu, Irwan Irma Nizam berkata, kerjasama tersebut merupakan inisiatif TakafulGo Venture yang juga anak syarikat Etiqa Takaful Berhad membantu peminat permotoran mendapat perlindungan tambahan. 

Jelasnya, pelan perlindungan ditawarkan kepada peserta RXZ Members tersebut memberi perlindungan 24 jam selama setahun dengan kadar premium serendah RM70.

 “Pelan yang boleh dipohon secara dalam talian menawarkan pampasan kematian dan hilang upaya sehingga RM50,000 dan elaun harian kemasukan ke hospital,” katanya

Pegawai bank kempunan beli Toyota Hilux, RM241,700 lesap

 KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pegawai bank untuk membeli sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux terpakai tidak kesampaian malah kerugian RM241,700 akibat terperdaya dengan urusan penjualan dalam talian yang tidak wujud. 

Lelaki berusia 52 tahun berasal dari Durian Burung, di sini yang menyedari tertipu itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 9.37 pagi, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pegawai bank tersebut tertarik dengan iklan sebuah syarikat menjual kenderaan terpakai yang dilihatnya di laman Facebook pada 12.30 tengah hari, 4 Julai lalu.

 “Mangsa yang berminat untuk membeli sebuah kenderaan pikap jenis Toyota Hilux 2.4 Auto keluaran 2017 telah menekan pautan diberikan. 

“Dia kemudian berhubung wakil syarikat tersebut yang kononnya berpengkalan di Pelabuhan Klang, Selangor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Azli berkata, lelaki itu menyerahkan salinan kad pengenalan kepada suspek bagi urusan pembelian kenderaan terpakai tersebut. 

Beliau berkata, pegawai bank tersebut membuat pembayaran keseluruhan RM241,700 secara berperingkat antara 9 hingga 21 Julai lalu.

 “Pembayaran dilakukan mangsa menerusi 40 transaksi ke dalam 18 akaun bank berasingan.

 “Begitupun, dia mula curiga apabila diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak RM31,000 kononnya untuk urusan dokumentasi dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya. 

Azli berkata, pegawai bank yang kerugian simpanan peribadi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya itu masih belum memperoleh kenderaan Toyota Hilux dijanjikan sehingga sekarang. 

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Hari keluarga R&Y

 


 Ahli keluarga Yusof Daud bergambar kenangan pada hari keluarga di A’ famosa Resort, Alor Gajah, Melaka baru-baru ini.

Sunday, December 28, 2025

Lebur RM77,889 diperdaya program affiliate palsu

 KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pembantu kedai makan menambah pendapatan menerusi program affiliate penjualan produk bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula kerugian RM77,889 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer. 

Lelaki berusia 34 tahun yang menyedari tertipu berkenaan telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 4.10 petang, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pembantu kedai makan tersebut ditawarkan peluang kerja sambilan tersebut oleh salah seorang kenalan media sosialnya menerusi aplikasi WhatsApp pada 4 Oktober lalu.

 “Mangsa ditawarkan pulangan keuntungan 10 peratus menerusi program affiliate sekiranya berjaya menjual pakaian dan aksesori wanita. 

“Dia yang tertarik telah diarahkan memuat naik dan mendaftar aplikasi bagi memulakan kerja sambilan berkenaan,” katanya di sini semalam. 

Azli berkata, tidak lama kemudian, pembantu kedai makan tersebut gembira menerima pesanan daripada pelanggan menerusi aplikasi terbabit. 

Beliau berkata, begitupun lelaki itu perlu membuat pembayaran kononnya ‘yuran proses’ bagi menyelesaikan transaksi pesanan pelanggan terbabit. 

“Mangsa yang tidak syak apa-apa mengikut arahan tersebut. Selain menggunakan wang simpanannya, dia juga meminjam daripada saudara dan kawan bagi membayar ‘yuran proses’ berkenaan. 

“Transaksi dilakukan secara berperingkat ke dalam enam akaun bank berbeza antara 16 Oktober hingga 26 November lalu,” katanya.

‘Saya maafkan, tapi kesalahan tetap perlu dihukum’

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI  

BESUT – Keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berharap laporan awal nahas bas yang dikeluarkan Sabtu lalu dapat menjadi asas kuat dalam memberi pembelaan buat ahli keluarga mereka yang terkorban pada 9 Jun lalu. 

Ibu Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, Ruslinan Abd. Razak, 55, berkata, laporan awal menunjukkan sistem mekanikal iaitu brek dan tayar berada dalam keadaan baik berlawanan dengan dakwaan pemandu bas tersebut. 

“Sebelum ini, kemalangan didakwa disebabkan oleh kegagalan brek, tetapi laporan awal pula sebaliknya.

 “Memang saya dan keluarga reda dengan ketentuan Ilahi, tetapi pada masa sama mahu keadilan untuk arwah anak dan rakan-rakan yang turut terkorban serta cedera dapat ditegakkan,” kata nya ketika dihubungi Kosmo! semalam. 

Ruslinan mendakwa, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka kenderaan lain, bas membawa anaknya dan 41 rakan sekuliah lain dipercayai dipandu laju sebelum kemalangan berlaku. 

Dia berkata, hukuman sewajarnya diambil sebagai pengajaran sekiranya terbukti kemalangan meragut nyawa anak lelakinya dan 14 rakan lain disebabkan kecuaian. 

Sementara itu, Ahmad Azizul Maslan, 26, abang kepada Nor Ayuni Maslan yang turut terkorban dalam nahas pukul 12.45 tengah malam itu berharap laporan awal dikemukakan dapat menjadi asas pihak pendakwaan bagi membuktikan kesalahan pemandu bas terlibat di muka pengadilan.

 “Keluarga saya tidak pernah menaruh dendam terhadap pemandu malah telah memaafkan dia, tetapi setiap kesalahan perlu dihukum secara undangundang.

 “Moga ia jadi pengajaran dan pengingatan buat orang ramai biarpun nyawa adik (Nor Ayuni) dan rakan-rakannya tidak mungkin dapat diganti,” katanya. 

Kosmo! Ahad lalu melaporkan, laporan awal siasatan nahas bas mengorbankan 15 pelajar UPSI di Gerik, Perak mendapati tiada bukti menunjukkan kemalangan itu berlaku disebabkan kegagalan sistem mekanikal seperti brek dan tayar. 

Menteri Pengangkutan, Athony Loke dilaporkan berkata, penemuan awal Puspakom mendapati keadaan fizikal brek bagi semua gandar bas terbabit dalam keadaan memuaskan. 

Terdahulu, pemandu bas, Mohd. Amirul Fadhil Zulkifle, 39, didakwa atas 16 pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 15 penuntut dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain di Mahkamah Majistret Gerik, Perak pada Jumaat lalu.

Doktor maut selepas bermain futsal

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang doktor sebuah klinik kesihatan yang dalam perjalanan pulang daripada bermain futsal maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Undang di sini kelmarin.

Dalam kemalangan pada pukul 11 malam itu, Muhammad Hariz Hashim, 35, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta beberapa anggota badan.

Mangsa  meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kira-kira setengah jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Hariz dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Bukit Bayas Indah di sini.

Beliau berkata, lelaki tersebut dikatakan baru pulang daripada bermain futsal di sebuah pusat sukan rekreasi berkenaan di Undang di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh sebuah stor penyimpanan tong gas memasak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Azli berkata, Muhammad Hariz yang cedera parah telah dikejarkan ke HSNZ sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.33 malam.

Sorok dadah, air ketum dalam tong ikan

 

KEMAMAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya melumpuhkan aktiviti penge daran dadah dan air ketum yang berselindung di sebalik jeti nelayan di daerah ini baru-baru ini. 

Serbuan pada pukul 4.30 pagi itu telah merampas 105 liter air ketum dan dadah jenis heroin, ekstasi, pil kuda dan syabu bernilai keseluruhan RM139,130. 

 Pengarah Kastam Terengganu, Hasbollah Din berkata, jeti nelayan haram tersebut telah diserbu pada 23 September lalu setelah risikan mendapati ia menjadi lokasi penyimpanan bekalan dadah dan air ketum terbabit.

 “Pemeriksaan menjumpai bekalan dadah terbabit disorokkan di dalam tong-tong ikan yang terdapat di dalam sebuah bilik di jeti nelayan berkenaan. 

 “Antara dadah dirampas ialah 190 gram heroin 1,200 biji pil kuda, 2,099 biji pil ekstasi dan 128 gram syabu,” katanya di sini semalam. 

 Hasbollah berkata, rampasan tersebut sekali gus me numpaskan sindiket pengedaran dadah di daerah ini dengan siasatan kes diteruskan mengi kut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Saturday, December 27, 2025

Amali sembelihan SDAR

 



Sebahagian pelajar tingkatan empat menjalani latihan amali sembelihan kambing dan ayam di Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru inI.