Translate

Saturday, April 8, 2017

Ajal hendak pulang rumah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDDIN HAMZAH

BESUT – Kegirangan tiga kanak-kanak perempuan menaiki sebuah traktor mini milik jiran sekampung mereka berakhir dengan tragedi selepas dua daripada mereka ditemui lemas apabila jentera berat itu terjatuh di Sungai Besut berhampiran Kampung Chegar Malok dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.56 petang itu Rabiatul Adawiyah Sayuti, 10, dan sepupunya, Nur Ainy Dania Azman, 7, meninggal dunia. Pemandu jentera itu yang merupakan jiran mangsa, Salim Deraman, 46, selamat.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Nur Lia Emilia, 10, yang merupakan kakak Nur Ainy Dania. Mereka diselamatkan oleh beberapa penduduk kampung yang me­nyedari kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, semua kanak-kanak itu sedang menumpang traktor mini yang dipandu Salim untuk pulang ke rumah masing-masing dari sebuah kebun getah.

“Mereka melalui jalan denai di pinggir kebun getah itu yang terletak bersebelahan tebing Sungai Besut.

“Sewaktu melalui laluan berbukit, jentera itu tiba-tiba mengundur lalu terbalik menjunam ke sungai ber­kenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, beberapa penduduk kampung yang ternampak insiden itu kemudian bertindak menyelamatkan keempat-empat mangsa.
Menurut beliau, Salim dan Nur Lia Emilia berjaya diselamatkan manakala Rabiatul Adawiyah yang sudah tidak sedarkan diri akibat lemas meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besut di sini.

“Nur Ainy Dania pula tersepit pada bahagian hidraulik traktor itu terpaksa dikeluarkan anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian. Kanak-kanak perem­puan itu kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai per­ubatan,” katanya.

Mohd. Zamri berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat manakala Salim dan Nur Lia Emilia pula dirawat di hospital sama dan keadaan mereka kini dilaporkan stabil.

Katanya, polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu.

No comments:

Post a Comment