Translate

Saturday, April 1, 2017

Irfan mahu Falcone bukti kemampuan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KETUA jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim melaungkan amaran kepada penyerang import, Federico Falcone untuk membuktikan kehebatannya pada aksi suku akhir pertama Piala FA 2017 menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Beliau berkata, ketiadaan Issey Farran Nakajima akibat penggantungan perlawanan bakal menjadi ruang terbaik buat Falcone untuk menunjukkan kebolehannya mengemudi jentera serangan pasukan Terengganu.

“Ketiadaan Issey (Farran Nakajima) yang merupakan penjaring terbanyak skuad Terengganu setakat ini, meletakkan Falcone sebagai sandaran utama kami untuk membolosi gawang pasukan lawan.

“Saya telah memberi kata dua kepada dia (Falcone) agar lebih agresif apabila berada di depan pintu pasukan lawan. Dia harus menjadi penjaring utama skuad ini dan bukannya Issey (Farran Nakajima),” kata Irfan kepada Kosmo! ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Falcone sebelum ini menjadi mangsa kecaman penyokong tegar skuad Penyu setelah sekadar meledak dua gol sejak pemain kelahiran Argentina itu diserap masuk sebagai penyerang utama pasukan tersebut musim ini.

Dalam perkembangan sama, Irfan melaungkan keyakinan bahawa skuad kendaliannya bakal memperoleh kemenangan selesa pada perlawanan malam ini sebagai bekalan menghadapi aksi kedua di Kuching pada 21 April nanti.

Beliau berkata, status Sarawak sebagai pasukan yang beraksi di Liga Super bukan sesuatu yang menggentarkan Terengganu, malah yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk menjinakkan skuad Bujang Senang itu.

“Ketiadaan Issey (Farran Nakajima) dan Firdaus Faudzi akibat penggantungan juga tidak menjejaskan persiapan pasukan kerana saya mempunyai beberapa pemain lain untuk mengisi kekosongan tersebut termasuk Ismail Faruqi Ashari yang telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya.

Terengganu yang kali terakhir menjulang Piala FA pada tahun 2011 telah menyingkirkan cabaran T-Team dan Felcra FC pada pusingan kedua dan ketiga, masing-masing dengan keputusan 1-0.

No comments:

Post a Comment