KEALPAAN saat-saat akhir dan keletihan menjadi faktor kekalahan Selangor kepada pasukan berstatus kelab, T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin, lapor MOHD. AZLI ADLAN.
Pengendali Selangor, P. Maniam berkata, gol pemain gantian tuan rumah, Muhammad Fauzi Abdul Kadar sewaktu perlawanan hanya berbaki dua minit menjadi pemusnah kepada skuad Gergasi Merah.
“Kita sepatutnya dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata tetapi kesilapan minit-minit akhir perlawanan telah mengundang padah.
“Sebenarnya, aksi keseluruhan kedua-dua pasukan agak seimbang dan kita juga memperoleh beberapa percubaan yang mampu menghasilkan gol terutama pada separuh masa kedua,” katanya.
Maniam berkata, keputusan perlawanan pasti berubah sekiranya beberapa percubaan berbahaya yang direncana duo import, Francis Forkey Doe dan Victor Stelian Astafie menepati sasaran.
Dalam perkembangan sama, dia memberitahu, anak-anak buahnya juga didapati bermain di bawah kemampuan sebenar atas faktor keletihan berikutan jadual liga yang padat.
“Apa pun saya percaya mereka telah memberi yang terbaik mengikut keupayaan masing-masing pada malam ini (kelmarin).
“Semua kelemahan ini akan diperbaiki dan diperkemas bagi mengharungi pusingan kedua Liga Super awal bulan depan,” katanya.
No comments:
Post a Comment