Translate

Tuesday, April 4, 2017

Kompleks beli-belah pertama Terengganu, Mayang Mall siap 2020

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pengendali Amanah Hartanah Bumiputera, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) melebarkan pelaburan ke Pantai Timur dengan pembinaan kompleks beli-belah pertama di Terengganu, Mayang Mall yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, Mayang Mall yang dibina di atas tapak seluas kira-kira 4.37 hektar tersebut bakal menempatkan gedung pakaian terkenal, Sogo.
"Sogo (KL) Department Store Sdn. Bhd. (Sogo) telah dilantik sebagai penyewa penuh Mayang Mall setinggi enam tingkat yang akan diberi tanggungjawab menguruskan operasi, perkhidmatan produk dan servis serta penyewaan premis perniagaan.
"Selain kompleks beli-belah itu, fasa pertama pembangunan Mayang Mall yang menelan belanja keseluruhan RM600 juta turut melibatkan pembinaan 200 unit apartmen servis setinggi 15 tingkat," katanya selepas menyaksikan upacara pecah tanah projek pembangunan Mayang Mall di sini hari ini.
Upacara pecah tanah tersebut yang dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Pengerusi PHB, Tan Sri Md. Nor Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Sogo, Toh Peng Koon itu disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment