Translate

Friday, April 21, 2017

Skuad Penyu buru kemenangan 
di laman lawan

JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) menggesa anak-anak buahnya agar kembali fokus untuk menghadapi aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Sarawak di Stadium Ne­geri, Kuching malam ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Beliau berkata, pengalaman pahit dibelasah kelab bola sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) 0-4 pada saingan Liga Premier, Jumaat lalu harus dilupakan segera.

“Saya mahu mereka terutama barisan pemain import agar kembali bangkit dan menampilkan aksi agresif sewaktu berdepan Sarawak esok (malam ini).

“Perlu diingatkan, pasukan lawan mempunyai kelebihan gol di tempat lawan dan kita bertandang ke laman mereka dengan misi untuk memadamkan defisit itu,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, beliau juga telah mengingatkan anak-anak buahnya bahawa mereka tiada pilihan selain mencatat kemenangan pada pertemuan tersebut.

Menurut Irfan, hanya kemena­ngan mampu mem­bawa skuad Penyu men­capai impian mara le­bih jauh dalam saingan Piala FA musim ini.

“Kita perlu lebih agresif mencari gol awal dan pada masa sama, barisan pertahanan juga perlu fokus agar tidak mudah dibolosi,” katanya.

Dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 1 April lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

No comments:

Post a Comment