DUNGUN – Seorang pemandu lori maut manakala lima ahli keluarganya cedera selepas kereta Proton Perdana V6 yang mereka naiki kemalangan di Kilometer (KM) 347, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, Jasni Mohamed, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada kepala manakala anak keduanya, Afiq Haikal pula cedera parah.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailani Yaakob berkata, isterinya, Rosmawati Deraman, 35, dan tiga anak mereka iaitu Aidil Hakimi, 14, Nuraina Hazwani, 7, dan Aqil Hazwan, 10 bulan cedera ringan.
“Sewaktu kejadian, difahamkan mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung di Kampung Raja, Besut dari Kuala Lumpur.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Perdana V6 yang dipandu Jasni tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh besi penghadang di tepi jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Zailani berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mayat Jasni yang tersepit di tempat duduk pemandu.
“Anak kedua mangsa yang cedera parah pada kepala kini sedang dirawat di unit rawatan rapi Hospital Dungun dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Isteri dan tiga lagi anak mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment