Translate

Wednesday, April 12, 2017

Irfan tak puas hati biarpun Terengganu menang

BIARPUN melakar kemenangan 2-0 ke atas Sabah pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin, ia belum cukup untuk memuaskan hati pengendali­nya, Irfan Bakti Abu Salim, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, aksi yang dipamerkan anak buahnya pada perlawanan tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki bagi mencabar takhta liga yang diterajui Negeri Sembilan.

“Walaupun kita berjaya meledak dua gol malam ini (kelmarin), kesemuanya terhasil menerusi bola mati (sepakan percuma) yang dihasilkan pemain tengah dan pertahanan. Saya kurang berpuas hati dengan prestasi barisan serangan.

“Bukan tiada percubaan tetapi terlalu banyak peluang yang terhidang di depan mata dilepaskan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Irfan yang merupakan bekas pengendali Felda United berkata, kesilapan mensia-siakan deretan peluang yang dicipta di dalam kotak penalti pihak lawan sudah berulang banyak kali dan ia amat meresahkan beliau.

Sehubungan itu, beliau akan mengerah penyerang-penyerang skuad Penyu untuk menjalani latihan intensif agar ketumpulan jentera serangan dapat diatasi secepat mungkin.

“Kita memerlukan lebih banyak gol untuk terus menghimpit Negeri Sembilan. Pada masa sama, kita juga perlu waspada dengan ancaman beberapa pasukan se­perti PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dan UiTM (Universiti Teknologi Mara) yang kini terus menghambat kedudukan ketiga dan keempat liga,” katanya.

Pada aksi kelmarin, Terengganu berjaya membenam ancaman skuad Badak menerusi jaringan Mohd. Faiz Mohd. Nasir dan Lazaro Vinicius masing-masing pada minit ke-32 dan 51, sekali gus berada di kedudukan kedua Liga Premier dengan 21 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

No comments:

Post a Comment