Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Jangkitan kuman pada lapisan kulit yang menyebabkan kedua-dua belah kakinya membesar dan membengkak sehingga lebih 10 kilogram telah mengubah kehidupan seorang wanita sejak tiga tahun lalu.
Penyakit yang dideritai Eizan Nadia Zainuddin, 39, itu bukan sahaja menyebabkan dia kehilangan pekerjaan sebagai tukang masak kafe di Hospital Serdang, Selangor malah dia kini susah untuk bergerak.
Menurut wanita itu, penyakitnya bermula selepas dia dimasukkan ke wad Hospital Putrajaya selama lebih sebulan setengah akibat demam panas yang turut menyebabkan kakinya berubah kemerahan pada November 2014.
“Dua bulan sebelum jatuh sakit, saya menjalani rawatan obesiti di hospital sama yang mana berat badan saya ketika itu ialah 190 kilogram (kg). Selepas dibenarkan keluar hospital, saya terlantar di rumah selama hampir sembilan bulan sebelum mampu bangun semula.
“Sepanjang tempoh itu, berat badan saya turun mendadak sebanyak 60kg daripada 248kg kepada 188kg dan kulit badan saya banyak mengendur akibat terkena jangkitan kuman pada lapisan kulit,” kata anak ketiga dari lima beradik itu ketika ditemui di rumahnya di Taman Permint Jaya di sini semalam.
Eizan Nadia berkata, pakar perubatan memberitahu, penyakitnya itu dikenali sebagai cellulitis bukannya penyakit untut seperti yang sering kali diperkatakan.
Cellulitis terjadi disebabkan jangkitan bakteria staphylococcus aureus atau streptococcus species pada kulit pesakit.
Kepada Kosmo!, bekas tukang masak itu berkata, dia percaya jangkitan kuman pada kakinya berpunca daripada luka lama dipercayai akibat terjatuh di bilik air kira-kira sebulan lalu.
Jangkitan itu katanya, menyebabkan lebihan air pada badannya (akibat penurunan berat badan) yang sepatutnya dikumuhkan oleh buah pinggang telah ‘turun’ ke kedua-dua belah kakinya yang kemudiannya membengkak sehingga 10.6kg setiap satu.
“Kesannya, saya terpaksa menjalani empat kali pembedahan untuk membuang lebihan air dan lemak yang berkumpul pada kaki sebanyak tiga kali,” katanya yang perlu mengeluarkan kos kira-kira RM1,000 bagi setiap pembedahan.
Menurutnya, kos perubatan itu sedikit sebanyak membebankan kerana dia kini tidak bekerja dan kembali menetap bersama ibu bapanya yang merupakan pesara kerajaan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menghubungi bapanya, Zainudin Sulaiman di talian 011-267 08440.
No comments:
Post a Comment