HULU TERENGGANU - Perbuatan degil lima lelaki termasuk empat warga Indonesia membela haiwan dilindungi tanpa lesen mengundang padah selepas premis mereka diserbu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dalam dua kes berasingan di Kampung Jabi, Jerteh, Besut pada Jumaat lalu.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Rahmah Ilias berkata, serbuan tersebut berjaya merampas beberapa haiwan dilindungi antaranya burung murai batu, helang bahu hitam, murai belanda, landak raya, memerang, ular sawa Burma dan musang yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.
"Dalam serbuan pertama, lapan ekor burung murai batu, dua ekor ayam hutan dan masing-masing seekor burung murai belanda, burung helang bahu hitam dan burung kunyit kacat yang berjaya dijumpai di dalam sebuah rumah yang dihuni empat pekerja kilang papan warga Indonesia.
"Serbuan kedua di sebuah rumah seorang pemandu jentolak warga tempatan tidak jauh dari lokasi pertama pula menjumpai 10 ekor landak raya, tiga ekor kura-kura dan masing-masing seekor memerang, musang serta ular sawa Burma," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment