Translate

Sunday, April 9, 2017

Mayang Mall dibina di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) bakal melabur sehingga RM600 juta untuk membangunkan kompleks beli-belah pertama di Terengganu, Mayang Mall yang dijangka siap menjelang  akhir tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, Mayang Mall yang dibina di atas tapak seluas kira-kira 4.37 hektar di Kampung Ladang Tanjung berdekatan muara Sungai Terengganu di sini.

“Sogo (KL) Department Store Sdn. Bhd. (Sogo) telah dilantik sebagai penyewa utama Mayang Mall setinggi enam tingkat ini dan ia akan diberi tanggungjawab menguruskan operasi, menyediakan perkhidmatan produk, servis serta penyewaan premis perniagaan.

“Selain kompleks beli-belah itu, fasa pertama projek tersebut akan melibatkan pembinaan apartmen servis setinggi 15 tingkat yang memiliki 200 unit kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah projek pembangunan Mayang Mall yang telah disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Pengerusi PHB, Tan Sri Md. Nor Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Sogo, Toh Peng Koon.

Kamalul Arifin berkata, Mayang Mall yang seluas kira-kira 6,6425.7 meter persegi itu merupakan kompleks beli-belah kelima milik PHB dan kedua di luar Lembah Klang selepas Melaka.

“Kompleks itu diberi nama Mayang Mall kerana lagu tradisional, Ulik Mayang yang amat sinonim dengan Terengganu,” katanya.

Selain itu,  Peng Koon berkata, pembukaan cawangan baharu di Mayang Mall merupakan sebahagian daripada strategi perkembangan syarikat setelah bertapak kukuh di Kuala Lumpur sejak 23 tahun lalu.

“Antara faktor yang menarik kami untuk melebarkan cawangan di Terengganu ialah 6,000 pemegang kad keahlian Sogo yang aktif membeli-belah di premis kami di Kuala Lumpur merupakan penduduk negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment