Translate

Thursday, April 13, 2017

Terengganu bakal buka 32 Gelanggang Silat TTB

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat membuka Gelanggang Silat Transformasi Terengganu Baharu (TTB) di setiap 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri ini melibatkan peruntukan RM1.6 juta.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk memartabatkan semula seni persilatan terutama dalam kalangan generasi muda di negeri berkenaan.

"Kita mahu orang Terengganu mahir bersilat, menghargai budaya dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Seni persilatan warisan peninggalan orang tua kita seperti Silat Kura-Kura perlu dipertahankan agar terus subur merentasi zaman," katanya selepas menyampaikan hadiah pertandingan gendang silat peringkat Terengganu di Pentas Budaya Batu Burok di sini semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Pertandingan Gendang Silat yang julung-julung kali diadakan itu dimenangi Kumpulan Seri Gendang Hulubalang Orang Kuala Berang dari Hulu Terengganu.

Ahmad Razif berkata, kos pembinaan setiap Gelanggang Silat TTB dianggarkan menelan belanja kira-kira RM50,000 dan kerajaan negeri Terengganu memberi kepercayaan kepada Pesaka Terengganu untuk melaksanakan projek pembinaan kesemua gelanggang silat itu.

"Kita telah mengarahkan setiap pejabat tanah dan daerah, Ahli Dewan Undangan Negeri dan penyelaras DUN untuk melakukan perbincangan dengan Pesaka Terengganu berhubung cadangan tapak dan reka bentuk gelanggang silat terbabit," katanya.

No comments:

Post a Comment