Translate

Friday, April 14, 2017

Pemandu maut, dua kelindan parah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang pemandu lori maut manakala dua kelindannya cedera parah selepas lori membawa muatan tilam yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 393.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, Razali Ahmat @ Sebulik, 39, yang putus kaki kiri dan cedera parah pada kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, dua kelindan lori tersebut iaitu Mohd. Faizul Mahpan, 43, dan Mohd. Hafiz Tahir, 36, pula parah pada kepala.

“Ketika kejadian, kesemua mangsa yang menaiki lori itu dalam perjalanan untuk menghantar tilam ke sebuah kedai perabot di Ajil dari Batu Pahat, Johor.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori yang mereka naiki tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli memberitahu, rempuhan itu menyebabkan lori yang penuh muatan tilam terbabas ke dalam longkang besar di tepi lebuh raya dan Razali tercampak keluar dari lori sejauh beberapa meter.

Katanya, mayat Razali telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat manakala dua lagi mangsa yang parah pula sedang menerima rawatan di hospital sama.

No comments:

Post a Comment