KUALA TERENGGANU - Terengganu mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Sarawak pada pertemuan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Keputusan itu jelas mengecewakan ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 pada hari ini.
Penyerang import, Federico Falcone meledak gol awal memperdaya penjaga gol Sarawak, Mohd. Shahril Sa'ari pada minit ke-20.
Pemain kelahiran Argentina itu menanduk masuk selepas menyambut tepat hantaran rakan sepasukan, Muhd. Ferris Danial Mat Nasir.
Skuad Bujang Senang kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang import, Jong Ho Lee pada minit ke-52.
Terdahulu, pasukan pelawat berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-28 namun gol jaringan Mark Andrew Hartmann dibatalkan kerana pemain kelahiran Britain itu berada pada kedudukan offside.
Kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan semula pada aksi kedua suku akhir kedua Piala FA di Stadium Negeri, Kuching pada 21 April depan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment