Translate

Monday, April 24, 2017

Suami isteri maut, 11 cedera selepas dua MPV bertembung

MARANG – Pasangan suami isteri maut manakala 11 termasuk empat anak mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang dinaiki bertembung dengan sebuah MPV lain, Hyundai Starex di Kilo­meter 41 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Merchang di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.25 petang itu, Noor Amalia Noorzan, 34, dan suaminya, Badrulhisham Omar, 41, masing-masing meninggal dunia pada pukul 12.35 pagi dan 6.16 pagi semalam sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa yang merupakan pasangan guru dan anak mereka dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kemaman dari Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Abdul Razak Hasan berkata, Noor Amalia dan Badrulhisham yang masing-masing mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail dan SK Binjai, Kemaman meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala, dada dan perut.

“Tiga anak mangsa iaitu Darwish, 4, Diyani, 7, dan Danish, 11, mengalami kecederaan parah pada kepala dan perut manakala seorang lagi, Damia, 9, cuma cedera ringan.

“Pemandu MPV, Hyundai Starex, Zulkahar Ismail, 52, dan enam penumpangnya juga mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Abdul Razak berkata, enam penumpang Hyundai Starex yang tercedera ialah isteri Zulkahar, Munira Nordin, 49, dan tiga anak mereka, Intan Zubati, 21, Ierman Putra, 20, dan Ierman Rifqi Idraki, 7, serta anak saudara mereka iaitu Nur Farisha Haida Md. Fadzil, 20, dan Muhammad Najhan Zainuddin, 21.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Toyota Wish yang dipandu Noor Amalia terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Hyundai Starex yang dipandu Zulkahar.
“Pertembungan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk pada bahagian hadapan. Mayat Noor Amalia dan Badrulhisham telah dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk dibedah siasat.

“Kesemua mangsa termasuk empat anak mereka yang cedera parah pula sedang menerima rawatan di hospital sama dan keadaan mereka kini dilaporkan stabil. Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment