Translate

Sunday, April 23, 2017

50,000 pelajar tercicir dibantu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) telah mencatat pencapaian membanggakan selepas berjaya membantu 50,000 lepasan sekolah yang tercicir menyambung semula pelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penganjuran program itu sejak tahun lalu merupakan salah satu agenda kerajaan untuk memperkasakan golongan bumiputera dalam bidang pendidikan.

“Saya beri peruntukan dan minta jawatankuasa (JPB) pergi ke kampung-kampung untuk mencari anak muda yang sebelum ini tercicir daripada sistem pendidikan negara.

“Masa depan mereka kemudian berubah menerusi program Jelajah Pendidikan Bumiputera ini,” katanya ketika melancarkan program Jom Bantu Rakyat dan majlis pecah tanah Rumah Idaman Rakyat Kampung Santong, Paka dekat sini semalam.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan surat tawaran bagi melanjutkan pengajian peringkat Diploma Teknologi Makanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu kepada Mohd. Kamil Hakimi Jamaluddin, 19.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi JPB, Tan Sri Prof. Dr. Sahol Hamid Abdul Bakar.
Sementara itu, Ketua Urus Setia Sekretariat JPB 2017, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali berkata, lebih 4,000 permohonan telah diterima daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia pada siri jelajah peringkat Terengganu yang diadakan di dua lokasi iaitu Tepoh, Kuala Nerus dan Paka dekat sini.

“Sambutan yang diterima dari kedua-dua lokasi itu amat menggalakkan dan menjadi tumpuan ramai lepasan sekolah.

“Kebanyakan mereka hadir bagi mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran bersama ibu bapa masing-masing,” katanya.

Mohd. Aizuddin berkata, sebanyak 22 institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk universiti, kolej, institusi kemahiran serta teknikal terlibat dalam siri jelajah di negeri ini.

No comments:

Post a Comment