JUARA keirin dunia, Azizulhasni Awang terus mendapat pengiktirafan apabila menerima ‘durian runtuh’ berupa ganjaran berjumlah RM200,000 daripada kerajaan negeri Terengganu semalam.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, insentif itu berupa wang tunai RM100,000, manakala selebihnya bagi membiayai latihan Azizulhasni sama ada di dalam atau di luar negara.
“Hari ini (semalam) kita sekali lagi meraikan success story (cerita kejayaan) dicapai anak Terengganu, Azizulhasni yang berjaya mencatat sejarah buat negara dan negeri ini apabila muncul juara dunia dalam acara keirin.
“Terima kasih Azizulhasni, anda telah lakukan yang terbaik dan kami amat bangga dengan anda,” katanya ketika menyambut kepulangan Azizulhasni sebagai wira berbasikal negara ke Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam.
Terdahulu, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman diarak sejauh 13 kilometer dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.
Lebih 2,000 penduduk tempatan termasuk pelajar sekolah tidak melepaskan peluang untuk meraikan kejayaan jaguh berbasikal negara itu dengan menunggu di sepanjang jalan sehingga ke Wisma Darul Iman.
Ahmad Razif berkata, pemberian insentif itu sebagai menghargai pencapaian tertinggi yang diraih Azizulhasni setelah merangkul pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong, 13 April lalu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan pemberian insentif RM2,000 sebulan kepada setiap atlet kelahiran Terengganu yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Insentif ini bagi membiayai keperluan dan latihan yang akan dilunaskan selepas mereka disahkan layak dan sehingga berakhir temasya berprestij dunia itu,” katanya.
Sementara itu, Azizulhasni yang ditemani ibu bapanya, Selamiah Yong dan Awang @ Muda Embong amat menghargai sokongan kerajaan Terengganu sehingga membolehkan dia melakar kejayaan besar tersebut.
“Saya berharap cerita kejayaan ini (juara keirin dunia) dapat memberi semangat kepada golongan muda di Terengganu untuk menggapai kejayaan dalam bidang sukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment