Translate

Friday, April 7, 2017

Tukang rumah perkosa anak kandung hingga hamil dijel 34 tahun

KEMAMAN – Perbuatan durjana seorang tukang rumah memperkosa anak kandungnya berusia 14 tahun seba­nyak dua kali sehingga mangsa melahirkan bayi yang kini berusia dua bulan menerima balasannya selepas dia dijatuhi hukuman penjara 34 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh berusia 37 tahun yang menghadapi dua pertuduhan merogol anak perempuan sulungnya itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Dia yang merupakan bapa kepada tiga anak tidak diwakili peguam bela manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi.

Badrul Munir menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak mulai tarikh tertuduh ditahan pada 27 Disember 2016.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di rumah mereka di sini antara pukul 12.30 tengah malam dan 1 pagi pada 7 hingga 20 April 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi dan waktu sama antara 1 hingga 20 Jun 2016.

No comments:

Post a Comment