Oleh MOHD. AZLI ADLAN
MARANG – Usia Wok Taib pada tahun ini mencecah 104 tahun.
Meskipun demikian, ia langsung tidak menghalang warga emas itu terus mengerah kudrat menganyam atap nipah di Kampung Jenang di sini.
Kepada Kosmo!, Wok berkata, dia telah mencari rezeki dengan cara itu bagi meneruskan kelangsungan tradisi keluarganya sejak lebih 80 tahun lalu.
“Seingat saya, kerja membuat atap nipah ini telah saya lakukan sejak berumur belasan tahun lagi selepas diajar oleh orang tua.
“Kini, saya mengusahakannya bersama anak lelaki bongsu, Zaiton Mat Amin, 60, yang mencari bahan mentah iaitu daun nipah, buluh dan rotan di hutan dan pinggir sungai berhampiran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Jenang dekat sini baru-baru ini.
Wok berkata, bagi menghasilkan sekeping atap, daun-daun nipah akan diikat dengan menggunakan rotan pada keratan buluh sepanjang 1.37 meter.
Menurutnya, biarpun tenaganya semakin berkurangan seiring dengan usia lebih satu abad, dia masih boleh menghasilkan atap nipah sehingga 100 keping sehari.
Sementara itu, Zaiton berkata, setiap atap nipah yang dihasilkan tersebut dijual pada harga RM2 sekeping.
Beliau berkata, permintaan terhadap atap nipah tetap ada terutama dalam kalangan pengusaha restoran dan calet termasuk di Lembah Klang.
“Kami hanya membuat atap nipah berdasarkan tempahan yang secara purata diterima dua kali sebulan. Buat masa ini, kami sedang menyiapkan 5,000 atap nipah yang ditempah syarikat pembekal di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor dan dijangka siap dalam masa dua minggu,” katanya.
Zaiton berkata, pemasangan atap nipah bukan sahaja membuatkan sesuatu premis itu nampak unik dan klasik malah meredupkan suasana dan ia mampu bertahan sekurang-kurangnya empat tahun sebelum perlu ditukar.
No comments:
Post a Comment