KELONGGARAN merentas negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu kembali merancakkan sektor pelancongan domestik.
Rakyat negara ini mula melancong ke pusat-pusat peranginan seluruh negara biar pun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ekoran penularan pandemik Covid-19 yang belum reda.
Terengganu juga tidak terkecuali, lokasi tumpuan pelancong seperti Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu kembali penuh, manakala tempahan bilik penginapan di pulau-pulau peranginan juga melebihi 90 peratus pada cuti Aidiladha minggu lalu.
Biar pun tanpa pelancong asing, industri pelancongan Terengganu kembali bangkit dan dijangka pulih lebih cepat.
Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ab. Rashid Jusoh berkata, unjuran kemasukan pelancong pada tahun ini telah ditingkatkan semula kepada 4.5 juta orang berikutan sambutan positif berkenaan.
Beliau berkata, sasaran awal 5.4 juta kemasukan pelancong pada tahun 2020 terpaksa diturunkan kepada 3.8 juta ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
“Begitu pun berdasarkan aliran kemasukan semula pelancong selepas pelaksanaan PKPP, kita optimis mampu capai 4.5 juta orang sehingga akhir tahun ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sebagai rekod, tahun lalu Terengganu menerima 5.27 juta pelancong termasuk 1.02 juta dari luar negara.
Ab. Rashid berkata, Jabatan Pelancong negeri dengan kerjasama pemain industri pelancongan tempatan lain telah bekerja keras melakukan kerja-kerja promosi berterusan sejak fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun pada masa itu aktiviti pelancongan tidak dibenarkan, kita tidak berpeluk tubuh dan merasakan perlu mengekalkan kesedaran tentang produk pelancongan di Terengganu.
“Kita mahu negeri ini menjadi destinasi idaman untuk dikunjungi menerusi slogan Ingat Pantai, Ingat Terengganu; Ingat Pulau, Ingat Terengganu,” katanya.
Ab. Rashid berkata, antara pendekatan promosi ialah penyiaran klip video produk pelancongan Terengganu di semua medium media sosial.
Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Ahmad Zulfa Shafie berkata, kehadiran ramai pelancong domestik di pulau-pulau peranginan terkenal di negeri ini sedikit sebanyak telah mengimbangi kehilangan drastik pelancong asing ekoran penularan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, sebelum ini, segmen pelancongan di pulau-pulau di Terengganu khususnya Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas telah didominasi pelancong luar negara.
“Biar pun tanpa pelancong asing, kadar penginapan bilik penginapan di pulau-pulau itu mencapai purata 70 peratus pada hujung minggu dan 50 peratus pada hari biasa.
“Fakta yang menarik ialah kebanyakan bilik penginapan yang diduduki tersebut merupakan pakej premium dan berharga mahal yang sebelum ini biasanya di tempah pelancong luar negara,” katanya.
Sebaliknya Ahmad Zulfa memberitahu, bilik penginapan pakej bajet pula kurang di tempah.
Ujar beliau, senario tersebut menunjukkan kebanyakan pelancong domestik yang berkunjung ke pulau peranginan berkenaan terdiri daripada golongan berpendapatan tinggi yang sebelum ini berkemungkinan besar gemar melancong ke luar negara.
“Kita tidak boleh tolak mereka memilih untuk melakukan pelancongan domestik berikutan larangan ke luar negara masih dikuat kuasakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment