Translate

Sunday, August 9, 2020

Ladang kelapa sawit TDM guna teknologi GIS, UAV

 SETIU - Kumpulan TDM Berhad menerusi anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. mengaplikasi teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Kenderaan Udara tanpa Pemandu (UAV) dalam penanaman semula di semua ladang kelapa sawit milik syarikat itu.

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, pelaksanaan teknologi tersebut dimulakan dengan Ladang Pelung, Sungai Tong di sini.

"Teknologi GIS dan UAV dengan dron dan imej satelit merupakan konsep baru yang telah digunapakai dalam industri perladangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penanaman semula pokok kelapa sawit di Ladang Pelung, Sungai Tong di sini semalam.

Raja Idris menjelaskan penggunaan teknologi GIS dan UAV dapat  memaksimumkan potensi hasil melalui kepadatan tanaman yang optimum.

Tambah beliau, sistem tersebut dapat meningkatkan teknik penyediaan tanah dengan mereka bentuk ladang daripada segi infrastruktur, teres dan tempat penanaman.

"Inovasi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif TDM Plantation untuk mengurus kos operasi, mengurangkan kebergantungan pekerja secara manual dan mematuhi amalan serta prosedur pertanian baik.

"Ia sebagai inisiatif untuk menangani cabaran industro semasa seperti kenaikan kos bekalan," katanya. 

Selain itu, Raja Idris berkata, teknologi baharu tersebut dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja di ladang. 

"Program penanaman semula menggunakan teknologi GIS dan UAV ini akan diperluas di ladang-lain milik TDM di seluruh Terengganu pada masa depan.

"Antaranya ialah Ladang Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan keluasan keseluruhan kira-kira 1,440 hektar," katanya.


No comments:

Post a Comment