Translate

Saturday, August 8, 2020

Terengganu sedia program khusus bantu bekas atlet

 

KERAJAAN negeri Terengganu bersedia merangka program khas bagi membantu kelangsungan hidup serta kebajikan nekas atlet selepas mereka bersara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program khusus itu bertujuan membantu bekas atlet mendapat pekerjaan baharu selain terlibat terlibat dalam bidang kejurulatihan.

"Rata-rata atlet dalam disiplin sukan apa pun hanya akan nampak bidang kejurulatihan sebagai kerjaya baharu selepas bersara sedangkan posisi itu sebenarnya agak terhad.

"Kita akan sediakan program untuk membantu mereka merancang pelan kehidupan selepas persaraan," katanya selepas majlis meraikan skuad Ragbi Terengganu menjuarai Piala Agong di Kuala Terengganu semalam.

Pada majlis itu, Wan Sukairi menyerahkan insentif RM150,000 kepada Yang Dipertua Persatuan Ragbi Terengganu, Amir Amri Muhammad atas pencapaian cemerlang itu.

Beliau menambah, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk merangka program membantu bekas atlet baru-baru ini.

"Jawatankuasa itu dianggotai 12 pakar pengurusan sukan seperti bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkeples Embong, Datuk Zaiton Othman (bekas Pesuruhjaya Sukan) dan Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Khairi Zawi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara)," katanya.

Baru-baru ini,  bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus dilaporkan mengalami kesempitan hidup sehingga terpaksa menjual koleksi peribadi termasuk anugerah kasut emas Liga Malaysia.

No comments:

Post a Comment