Translate

Saturday, August 8, 2020

Dua pegawai UniSZA didakwa buat 34 tuntutan palsu RM37,879

 

KUALA TERENGGANU - Dua kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 34 pertuduhan menipu dengan mengemukakan tuntutan palsu berhubung penyelenggaraan kenderaan jabatan yang tidak wujud.

Jumlah tuntutan keseluruhan adalah RM37,879 yang dibuat sembilan bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohd. Amir Hafizudin Zakaria, 31, dan Wan Saiful Kudri Che Wan Ahmad, 38, yang masing-masing merupakan pembantu tadbir kewangan dan pembantu akauntan universiti itu.

Mereka membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memperdaya Penolong Akauntan UniSZA dengan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan kenderaan-kenderaan jabatan universiti.

Mereka didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Bendahari UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus dari Oktober hingga Disember 2019.

Mohd. Amir Hafizudin dan Wan Saiful Kudri didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Jamaludin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

No comments:

Post a Comment