Translate

Monday, August 10, 2020

Perlu aktifkan semula Litar Permotoran Gong Badak

 

KUALA TERENGGANU - Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus yang kini kurang dimanfaatkan dan agak sepi sejak lebih setahun lalu disarankan agar dihidupkan semula sebagai inisiatif untuk menangani aktiviti berlumba motosikal secara haram atau merempit di negeri tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, aktiviti permotoran dianjurkan di litar yang dibuka pada tahun 2017 berkenaan sebelum ini terbukti telah berjaya mengurangkan aktiviti merempit selain memberi ruang untuk mencungkil lebih ramai bakat perlumbaan motosikal dalam kalangan remaja.

"Litar Permotoran Gong Badak harus dimanfaat sepenuhnya dengan penganjuran lebih banyak aktiviti bagi memenuhi kehendak golongan muda yang minat bermotosikal.

"Pendekatan itu yang pernah dilakukan sebelum ini dilihat berjaya menyelesaikan hampir sepenuhnya masalah merempit di Terengganu," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas inisiatif yang bakal diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengatasi masalah merempit yang kembali menular di Terengganu sejak akhir-akhir ini.

Antara pendekatan terbabit ialah pembinaan Litar Permotoran Gong Badak yang dilengkapi litar Cub Prix sepanjang 1.35 kilometer, sprint test sepanjang 0.95 km, drift dan tiga kategori Grand Stand dan mendapat pengiktirafan Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Bagaimanapun, aktiviti permotoran melibatkan penduduk tempatan di litar yang dirasmikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkenaan semakin berkurangan sejak lebih setahun lalu.


No comments:

Post a Comment