Translate

Sunday, August 9, 2020

Dua lelaki curi tabung derma diburu polis

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Geng Tabung yang dianggotai dua lelaki termasuk seorang bekas banduan sedang diburu polis kerana disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes mencuri tabung derma di sekitar bandar Chukai di sini sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek yang berusia 20-an mensasar tabung derma yang diletakkan di kedai-kedai runcit sekitar bandar berkenaan.

“Dalam kejadian terakhir pada pukul 8 pagi kelmarin, satu tabung derma yang mempunyai kutipan hampir seratus ringgit telah dilarikan Geng Tabung berkenaan di sebuah kedai runcit di Kampung Jabur Kubur, Chukai di sini.

“Modus operandi mereka ialah salah seorang suspek akan berpura-pura berbual dengan pembantu kedai untuk membuatnya leka sebelum melarikan tabung derma yang berada di atas kaunter pembayaran,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, suspek tersebut kemudiannya melarikan diri bersama rakannya yang sedang menunggu di luar kedai runcit sasaran dengan menggunakan motosikal.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu atau mengenali suspek boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di talian 09 859 2222,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment