Translate

Sunday, August 9, 2020

Ta Win labur RM2. 4 bilion bina pusat sehenti pembuatan produk logam bukan feros

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Syarikat pengeluar produk tembaga, Ta Win Holdings Bhd. (Ta Win) bakal membangunkan taman perindustrian mesra alam di Lembah Perasing, Kemaman melibatkan pelaburan RM2.4 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win, Datuk Seri Ngu Tieng Ung berkata, Terengganu Ecocycle Park yang seluas 202.5 hektar itu dijangka menjadi pusat sehenti pembuatan produk logam bukan feros seperti tembaga yang terulung di Asia Tenggara.

“Terengganu Ecocycle Park yang di inspirasi daripada pembangunan bandar mesra alam, Kitakyushu di Jepun tersebut merupakan usaha sama Ta Win dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Permint).

“Taman perindustrian mesra alam yang pertama di Asia Tenggara berkenaan bakal dibangunkan dalam empat fasa yang dijangka siap dalam tempoh sembilan tahun,” katanya.

Terdahulu beliau menandatangani Perjanjian Usaha sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Permint, Wan Adnan Wan Derahman pada majlis yang disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tieng Ung berkata, pembangunan Terengganu Ecocycle Park akan dibahagikan kepada tiga zon iaitu teknologi teras seluas 34.43 hektar, teknologi sub teras (101.25 hektar) dan teknologi sokongan (66 83 hektar).

Beliau berkata, sejajar dengan perancangan masa depan, Ta Win juga bercadang untuk memindahkan ibu pejabat dan kilang miliknya ke Terengganu Ecocycle Park apabila projek itu mula beroperasi kelak.

“Taman perindustrian ini juga amat strategik dengan lokasinya berhampiran Pelabuhan Kuantan dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan,” katanya.

No comments:

Post a Comment