Oleh MOHD AZLI ADLAN
SETIU – Seorang peniaga didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menjual jam tangan berjenama tiruan pada minggu lalu.
Hakim Azimah Yaacob memutuskan hukuman demikian selepas tertuduh, Hizammudin Mohamad Rais, 29, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memiliki 125 utas jam tangan berjenama G-Shock tiruan untuk jualan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh sebuah premis di Taman Hijrah, Kampung Bari Besar dekat sini pada pukul 12.20 tengah hari, 27 Julai lalu.
Hizammudin didakwa mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM8,000 bagi setiap barang yang mempunyai cap dagangan berdaftar palsu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Besut, Kamarulzaman Ismail.
Kosmo! 29 Julai lalu melaporkan hasrat seorang peniaga mencari keuntungan mudah dengan menjual jam tangan berjenama tiruan tidak kesampaian apabila premisnya diserbu pasukan penguat kuasa KPDNHEP. – K! ONLINE.
No comments:
Post a Comment