Translate

Friday, August 7, 2020

Peserta konvoi bermotosikal ke Cameron Highlands putus kaki

 

HULU TERENGGANU – Seorang penunggang motosikal putus kaki kiri selepas motosikal Yamaha RXZ yang dinaiki terlibat dalam kemalangan sebelum merempuh penghadang besi jalan di Kilometer 55 Jalan Sungai Gawi – Aring berhampiran Bukit Kawah dekat sini hari ini.

Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu berpunca selepas motosikal dinaiki Mustofa Kamal Abdullah, 33, bergesel dengan sebuah motosikal lain yang ditunggangi rakannya, Muhamad Haziq Izzuddin Mohd. Yusoff, 22.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mad Daud berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama lapan rakan mereka yang menaiki motosikal masing-masing sedang berkonvoi ke Cameron Highlands, Pahang dari Rhu Muda, Marang.

“Kejadian berlaku apabila motosikal jenis Yamaha RXZ dan motosikal Yamaha RXS yang masing-masing ditunggang Mustofa Kamal dan Muhamad Haziq Izzuddin cuba mengelak serpihan batu yang berada di tengah jalan.

“Kedua-duanya bergesel antara satu sama lain menyebabkan motosikal ditunggang Mustofa Kamal hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh pembahagi besi jalan yang berada di tepi jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, impak daripada pelanggaran itu menyebabkan kaki kiri Mustofa Kamal putus terkena serpihan besi pembahagi jalan berkenaan.

Menurut beliau, mangsa telah dikejarkan oleh rakan-rakan konvoinya ke Unit Kecemasan Hospital Hulu Terengganu di sini untuk menerima rawatan.

“Mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment