KUALA NERUS – Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) terutama di Plaza Tol Gemuroh di sini mulai sesak hari ini dengan pengguna Pantai Timur yang pulang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha esok.
Pengarah Eksekutif LPT2 Sdn. Bhd., Datuk Azman Ismail berkata, aliran trafik di lebuh raya itu telah menunjukkan peningkatan lebih 70 peratus pada musim perayaan ini.
“Sebanyak 35,000 kenderaan dijangka menggunakan LPT2 pada musim perayaan Hari Raya Aidiladha kali ini pada setiap hari berbanding 13,000 pada hari-hari ini.
“Kita sudah menjangkakan peningkatan tersebut memandangkan ramai perantau akan mengambil kesempatan pulang berhari raya berikutan kebenaran merentas negeri diberikan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azman memberitahu, seramai 330 kakitangan telah ditempatkan di lokasi strategik di sepanjang LPT2 seperti plaza tol, kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah untuk membantu melancarkan perjalanan pengguna.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf sepanjang lebuh raya sehingga Isnin ini bagi mengurangkan kesesakan.
“Pengguna disaran menggunakan cadangan jadual perjalanan yang telah disarankan pihak kami bagi melancarkan pemanduan mereka di LPT2.
“Selain itu, mereka juga boleh menggunakan perkhidmatan pra-pesanan makanan di R&R Perasing, Paka (arah utara) dan Ajil (arah utara) menerusi aplikasi telefon pintar. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment