Translate

Sunday, August 9, 2020

Rahsia hidup mewah terbongkar akhirnya

 

KEMAMAN - Tembelang sebuah keluarga yang hidup mewah sejak setahun setengah lalu terbongkar selepas polis memberkas tiga ahlinya yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Taman Rayhat Makmur, Chukai di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 1.45 pagi itu, seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan bersama isteri dan anak sulungnya yang masing-masing berusia 48 tahun dan 22 tahun kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, serbuan itu berjaya merampas syabu, pil kuda, wang tunai dan pelbagai kenderaan yang bernilai keseluruhan RM1.5 juta.

"Serbuan tersebut berjaya menemui tujuh paket berisi kristal disyaki syabu dan 51 paket berisi 10,098 biji pil dipercayai pil kuda yang dijumpai di dalam laci gerobok kayu di salah sebuah bilik di rumah mereka.

"Wang tunai RM321,000 yang tersimpan di dalam almari pakaian turut disita selain 14 kenderaan mewah seperti Nissan Fairlady, BMW 5 Series dan motosikal Y15," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Roslee berkata, serbuan kedua di sebuah rumah berhampiran pada pukul 6 petang hari sama pula menemui wang tunai RM7,415 namun pemiliknya yang dipercayai rakan sejenayah keluarga itu berjaya melarikan diri.

Dalam perkembangan sama, beliau percaya tiga beranak itu mengedar dadah untuk pasaran Kemaman dan Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, keluarga tersebut yang kesemuanya tidak bekerja berselindung di sebalik perniagaan menunda kenderaan untuk menjalani kehidupan mewah.

"Ujian air kencing ketiga-tiga suspek didapati negatif namun suspek pertama dan anak lelakinya mempunyai rekod jenayah lampau dalam aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.

Kesemua suspek ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment