MARANG - Tindakan seorang suri rumah mengugut anak jirannya menggunakan sebilah parang gara-gara seekor kucing akhirnya membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam.
Tertuduh, Noor Aini Mohammad, 35, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nur Ain Engku Muda.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengugut untuk mencederakan seorang wanita berusia 25 tahun yang juga anak jirannya dengan sebilah parang.
Noor Aini didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan rumah mangsa yang terletak di Taman Sri Payong, Padang Mengkuang di sini pada pukul 6.45 petang 13 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Engku Nur Ain membenarkan Noor Aini dibebaskan dengan wang jaminan RM3,000 dan seorang penjamin selain menetapkan sebutan semula kes pada 6 Ogos depan.
Tertuduh membayar wang jaminan itu.
Difahamkan kejadian berpunca daripada salah faham selepas Noor Ain menyangka mangsa memarahi anak perempuannya selepas kucing peliharaan mereka memasuki rumah jirannya.
No comments:
Post a Comment