Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan MOHD. AZLI ADLAN
KOTA BAHRU - Budaya membeli emas dalam kalangan wanita di Kelantan umpama menukar pakaian apabila mereka sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit semata-mata untuk 'memburu' corak dan reka bentuk emas terkini yang menjadi trend di seluruh negara.
Seorang pemilik kedai emas, Sunira Sharif, 33, berkata, sejak menjalankan perniagaan emas di Pasar Besar Siti Khadijah di sini lima tahun lalu, dia dapati ramai pelanggan yang datang hanya mahu membeli barang kemas yang sedang laris di pasaran.
"Ada pelanggan yang datang ke premis saya dengan hanya berpakaian ringkas namun mereka membeli emas yang mencecah nilai RM60,000.
"Cara mereka membeli emas seolah-olah seperti menukar pakaian dan kumpulan ini suka memakai corak emas yang berbeza-beza," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Kosmo! semalam melaporkan peminat emas di seluruh negara bagaikan melepaskan geram apabila 'menyerbu' premis barang kemas setelah hampir tiga bulan tidak dapat membeli perhiasan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Dalam tempoh dua bulan bermula Mei lalu, hasil jualan emas melibatkan lebih 1,500 peniaga di seluruh negara dianggarkan mencecah RM1 bilion.
Sunira berkata, kebanyakan pelanggannya sering mengikuti perkembangan terkini mengenai corak emas di pasaran.
Katanya, pelanggan juga akan membeli barang kemas antara lima hingga tujuh kali dalam tempoh setahun dan nilai setiap pembelian mencecah harga melebihi RM10,000.
"Bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan membeli emas secara tunai, kami memperkenalkan tabung simpanan bergelar Tabung Sue yang mempunyai 50 peserta.
"Nilai minimum simpanan sebanyak RM20 seminggu. Jika simpanan sudah RM3,000, para penyimpan boleh membeli emas dengan nilai tersebut di kedai saya," ujarnya.
Sementara itu, pemilik perniagaan kedai peralatan majlis, Hasnira Haron, 35, mengakui dia gemar membeli emas seperti memborong pakaian.
Jelasnya, dia membeli barangan kemas seperti cincin, gelang dan cincin anaknya berjumlah RM8,000 setiap hari Sabtu pada Jun lalu.
Pada awal bulan ini, saya membeli gelang berharga RM4,350 dan cincin bernilai RM1,150 pada minggu lalu. Kebanyakan barangan kemas yang dibeli secara kaedah bayar ketika penghantaran," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, dia akan menjual emas lamanya untuk mendapatkan seleksi emas rekaan terbaharu yang berada di pasaran.
Seorang pelanggan lain, Wan Nana Suriani Wan Jimy, 23, berkata, dia sanggup menyertai Tabung Sue untuk membeli emas kerana minat terhadap barang kemas.
Kata Wan Nana Suriani, sasarannya adalah membeli emas bernilai RM3,000 pada tahun depan dan menyimpan sebanyak RM20 seminggu.
Di Kuala Terengganu seorang pengusaha kedai emas di Pasar Payang 2, Zakaria Yusof berkata, kebanyakan pelanggan datang untuk menukar barang kemas setelah tidak dapat melakukannya ketika PKP.
"Kebanyakan pelanggan dari luar Terengganu memberitahu, harga emas di negeri ini masih murah iaitu RM233 segaram berbanding RM270 di Kuala Lumpur," katanya yang menerima lebih 30 pelanggan sehari.
No comments:
Post a Comment