Translate

Wednesday, August 5, 2020

TDM muktamadkan proses ambil alih THP-YT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Bhd. (TDM) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, telah mengambilalih THP-YT Plantation Sdn. Bhd. (THP-YT Plantation).

THP-YT merupakan anak syarikat milik penuh TH Plantations Bhd. (TH Plantations)

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, proses pengambilalihan tersebut telah dimuktamadkan minggu lalu.

“TDM menguasai 70 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantation manakala selebihnya dimiliki Yayasan Terengganu.

“Ia membolehkan kumpulan mengambil alih pengurusan Ladang Bukit Bidong, Setiu yang seluas 2,594.50 hektar,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Dalam makluman TH Plantations kepada Bursa Malaysia pada bulan Mac lalu, syarikat telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan TDM bagi melupuskan 70 peratus kepentingan saham dalam THP-YT dengan pertimbangan tunai sebanyak RM7 juta.
Raja Idris menjelaskan,daripada keseluruhan ladang tersebut, sebanyak 2,307 hektar dari keluasan Ladang Bukit Bidong ditanam dengan pokok kelapa sawit.

“Usia purata tanaman kelapa sawit juga positif iaitu antara dua hingga sembilan tahun,” katanya.

Tambah beliau, pengambilalihan ladang kelapa sawit itu juga telah meningkatkan keluasan kawasan tananam kontan milik TDM kepada 33,653 hektar berbanding 31,346 hektar sebelum ini.

Ladang Bukit Bidong di bawah pegurusan THP-YT Plantation juga strategik kerana terletak berhampiran dengan kilang kelapa sawit TDM Sungai Tong, Setiu.

Berdasarkan faktor-faktor berkenaan, Raja Idris optimis terhadap pengambilalihan berkenaan bakal menyumbang peningkatan kapasiti dan kecekapan sekali gus menurunkan kos pemprosesan yang ditanggung kumpulan.

“Pengambilalihan tersebut juga di sasar dapat diterjemah dalam kecekapan operasi yang akan meningkatkan keuntungan kumpulan dalam jangka masa panjang,” katanya.

TDM memiliki 16 ladang kelapa sawit dan tiga kilang di Terengganu dan Indonesia

No comments:

Post a Comment