Translate

Tuesday, February 20, 2024

Tujuh sekolah diberi cuti bencana

 

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN dan MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Sebanyak tujuh buah sekolah yang terjejas banjir di daerah ini dibenarkan mengambil cuti bencana sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan.

 Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja dan SK Kampung Shukor paling terjejas dengan dilitupi lumpur tebal berikutan banjir besar yang berlaku pada Khamis lalu.

 SK Pasir Raja dan SK Kampung Shukor ditenggelami banjir lumpur setinggi lebih tiga meter. 

 “Banjir yang berlaku di Hulu Dungun kali ini dianggap terburuk, lebih teruk berbanding yang berlaku pada tahun 2014. 

 “Kesemua sekolah terlibat dibenarkan untuk mengambil cuti bencana sehinggalah operasi pembersihan selesai sepenuhnya demi keselesaan semua pelajar,” katanya di SK Pasir Raja, di sini semalam.

 Terdahulu, beliau mengetuai operasi pembersihan sekolah itu bersama lebih 100 sukarelawan lain.

 Shafruddin memberitahu, lima sekolah lain yang turut terjejas ialah SK Tepus, SK Kuala Jengal, SK Jongok Batu, SK Dendang, SK Kuala Abang, SK Minda Talong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai.

 Tambahnya, Kementerian Pendidikan sedang membuat penilaian kerugian yang dialami kesemua sekolah terlibat ekoran banjir itu. 

“Pegawai pendidikan daerah telah diminta untuk menyenaraikan dan menilai kerosakan dialami untuk tindakan lanjut. 

“Banyak peralatan sekolah termasuk komputer, kerusi dan meja kelas mengalami kerosakan. Kuarters guru juga terjejas dalam banjir luar jangkaan ini,” katanya. 

 Berdasarkan Info Bencana JKM, Dungun merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas banjir di Terengganu dengan 521 mangsa daripada 170 keluarga berada di PPS setakat pukul 5 petang semalam.

No comments:

Post a Comment