KUALA TERENGGANU – Orang ramai tidak rasa terganggu dengan kehadiran individu memakai kostum di kawasan tumpuan kerana menganggap mereka sekadar memeriahkan lokasi pelancongan.
Kakitangan awam di Kuala Nerus, Nor Irina Sairah Mainong, 38, berkata, kehadiran golongan tersebut mewarnakan suasana dan ia sebagai trend positif bagi sektor pelancongan domestik.
“Kelibat penghibur jalanan memakai kostum sebagai tarikan pelancongan fenomena biasa di luar negara terutama di Barat.
“Saya lihat pemakai kostum maskot tempatan ini jauh lebih sopan, tidak pernah memaksa pengunjung memberi sumbangan kepada mereka,” katanya.
Nor Irina Sairah berkata, sebagai ibu, dia gembira melihat anak-anak kecilnya ceria dihiburkan oleh maskot watak-watak kartun kegemaran mereka.
Dia berkata, sumbangan diberi dengan niat menghargai usaha mereka menggembirakan anak-anaknya.
Norain Yunus, 36, pula berkata, walaupun aktiviti penghibur jalanan terbabit dilihat berjalan secara harmoni pada masa ini, ia masih perlu dipantau oleh pihak berkuasa tempatan dari segi prosedur operasi standard.
“Bukan sekat rezeki tetapi bagi mengelak ia dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab pada masa depan.
“Kita tidak mahu ia dimonopoli warga asing suatu hari nanti kerana dianggap lubuk rezeki mudah ekoran ketiadaan pemantauan daripada pihak berkuasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment