Translate

Saturday, February 17, 2024

Ramai orang asli Terengganu sudah daftar Padu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Tahap pendaftaran sistem Pengkalan Utama Data (Padu) dalam kalangan komuniti orang asli di Terengganu hampir mencapai hampir 100 peratus.

Pengarah Perangkaan Terengganu, Marlini Sahul Hamid berkata, berdasarkan program jelajah yang dilakukan di dua perkampungan orang asli di Sungai Berua, Hulu Terengganu dan Sungai Pergam, sambutan diberi amat memberangsangkan.

“Walaupun sebelum ini kefahaman dan kesedaran mereka terhadap sistem Padu agak rendah, kerjasama diberikan sangat baik.

“Sewaktu program jelajah di Sungai Berua misalnya, keseluruhan lebih 300 orang asli (yang layak mendaftar) hadir memberi maklumat (bagi mengisi) sistem Padu,” katanya ketika ditemui pada program jelajah Padu di Kampung Orang Asli Sungai Pergam, di sini hari ini.

Program tersebut mendapat sambutan baik dengan sebahagian besar 480 penduduk perkampungan tersebut termasuk Tok Batin, Roslan Semail hadir untuk mendaftar sistem Padu.

Marlini berkata, pihaknya akan mengunjungi satu lagi perkampungan orang asli di Sungai Sayap, Besut pada masa terdekat.

Beliau berkata, tiga perkampungan tersebut dihuni 1,072 orang asli terdiri daripada etnik Semaq Beri dan Jakun.

Dalam perkembangan sama, Marlini memberitahu setakat Ahad lalu, seramai 156,509 orang atau 18.2 peratus penduduk Terengganu sudah mengemaskini sistem Padu. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment