Oleh MOHD AZLI ADLAN, NOOR HASLIZA NUSI dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
KUALA TERENGGANU – Segelintir masyarakat yang mencari rezeki dengan memakai kostum maskot dan adiwira menegaskan mereka bukannya pengemis sebaliknya menganggap diri sebagai penghibur jalanan untuk menceriakan orang ramai.
Walaupun ada yang memandang serong, kekentalan mental yang dipasak dengan niat untuk membantu keluarga menjadi sumber ketabahan hati ketika berdepan dengan masyarakat di sebalik kostum yang dikenakan.
Berbekalkan beg silang, mereka yang memakai kostum seperti katak, kucing, panda dan arnab bergaya comel sambil cuba menarik perhatian orang ramai.
Tinjauan Kosmo! di bandar raya ini dan Kuala Nerus seperti Pantai Batu Burok dan Teluk Ketapang mendapati tidak kurang 10 penghibur jalanan tersebut berada di setiap kawasan.
Seorang pekerja kilang dikenali sebagai Alif, 20-an, berkata, mencari rezeki dengan cara sedemikian sudah menjadi trend terutama di kawasan tumpuan pelancong di seluruh negara termasuk di negeri ini.
Katanya, trend itu juga merebak ke pasar malam, pasar tani dan tapak fiesta makanan setiap hari.
“Saya pakai kostum Spiderman pada waktu malam selepas balik kerja dan hujung minggu. Dengan modal RM200 untuk beli kostum, saya berusaha keras untuk menghiburkan orang ramai di kawasan tumpuan.
“Orang ramai beri dengan ikhlas hati selepas bergambar. Kami ini penghibur jalanan dan bukannya pengemis moden seperti persepsi segelintir pihak,” katanya ketika ditemui di Pantai Batu Burok di sini baru-baru ini.
Menurut Alif, pendapatannya tidak menentu dan adakala dia peroleh RM100 satu malam.
Sementara itu, peniaga buah, Wahid, 30-an, memberitahu dua anak perempuannya memakai kostum katak untuk menghiburkan orang ramai sambil dipantau isteri.
“Saya bukan peralat dan tidak pernah paksa anak. Mereka seronok kerana wang yang diperoleh digunakan untuk belanja sekolah dan saya tidak usik sesen pun,” katanya.
Menurut Wahid, dua anaknya boleh dapat antara RM80 hingga RM100 sehari.
Di George Town, fenomena sama turut berlaku apabila vidu memakai kostum turut berada di Padang Kota Lama dan lokasi lain untuk menghiburkan orang ramai.
Mad, 39, berkata, dia memakai kostum Pikachu sejak empat tahun lalu sebagai punca utama pendapatan keluarganya.
“Kerja tidak terikat dengan arahan majikan dan jadual. Saya bebas daripada sebarang tekanan kerana ini cara saya menjana pendapatan untuk belanja dan bayar hutang,” katanya yang bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan.
Menurut Mad, dia beraksi bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam dan dapat kumpul hingga RM200 sehari bergantung kepada keadaan.
“Saya sekadar mahu menghiburkan orang terutama kanak-kanak dan bukannya mengemis atau menagih ihsan,” katanya.
Ujar Mad, tabung yang dibawa bukannya minta sedekah tetapi persediaan jika ada pihak yang ingin menyumbang.
“Ada juga yang masukkan resit, tiket bas dan duit satu sen. Saya tidak kisah,” katanya.
Pemakai kostum katak, Mohd., 32, berkata, dia dan teman wanitanya menjadikan kerjaya itu secara sambilan sejak setahun lalu untuk mendirikan rumah tangga.
“Dapat antara RM50 hingga RM80 sehari kerana gaji bulanan sebagai penyelenggara bangunan RM1,800 tak cukup. Kami bukan pengemis dan tidak kacau orang pun ketika menghiburkan mereka.
“Ada kalanya memang sukar untuk hiburkan orang hinggakan ada yang lari bila nampak kami kerana bimbang kena hulur duit,” ujarnya
No comments:
Post a Comment