Translate

Sunday, February 11, 2024

40 peratus penjawat awam selesai mendaftar Padu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Sebanyak 40 peratus penjawat awam telah selesai mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) menjelang tarikh akhir ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada minggu depan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, setakat ini, seramai lebih 600,000 kakitangan kerajaan telah mengemas kini akaun Padu masing-masing.

Beliau optimis pendaftaran Padu bagi semua kira-kira 1.5 juta penjawat awam itu dapat diselesaikan menjelang 15 Februari ini.

“Kita telah mencapai 40 peratus penjawat awam seluruh negara telah mengemas kini Padu dengan Terengganu antara yang tertinggi.

“Saya yakin sasaran semua penjawat awam selesai mendaftar Padu menjelang tarikh 15 Februari ini yang ditetapkan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) boleh dicapai,” katanya selepas meninjau perjalanan pendaftaran Padu di Kampung Jawek, Jertih di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz telah mengarahkan semua penjawat awam mengemas kini maklumat masing-masing menerusi Padu selewat-lewatnya pada 15 Februari ini.

Arahan itu dikeluarkan oleh beliau menerusi surat pekeliling bertarikh 17 Januari lalu.

Mohd. Uzir berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang memainkan proaktif membantu penjawat awam melakukan pendaftaran Padu terutama mereka yang berkhidmat di lokasi terpencil seperti kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment