Translate

Friday, February 16, 2024

ASP, sarjan ditahan samun duit RM5,150

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Tindakan dua pegawai polis masing-masing berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan sarjan yang menyamun seorang lelaki di Wakaf Tembusu, Kuala Nerus minggu lalu membawa padah apabila mereka ditahan di dua lokasi berasingan baru-baru ini.

Kedua-dua suspek itu ditahan pada Sabtu dan Ahad lalu susulan laporan yang dibuat seorang mangsa di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus, di sini. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, dalam kejadian itu, mangsa mendakwa kerugian kira-kira RM5,150. 

Katanya, mangsa pada mulanya membuat laporan polis dan mendakwa telah disamun oleh dua lelaki di sebuah stesen minyak.

 “Pengadu mendakwa turut dipaksa dua suspek terbabit untuk mengeluarkan duit simpanan sebanyak RM5,000 di mesin pengeluaran wang (ATM) sebuah stesen minyak di Wakaf Tembusu, Kuala Nerus pada 1 Februari lalu.

 “Siasatan awal menerusi rakman televisyen litar tertutup (CCTV) dan pengecaman gambar dilakukan mangsa kemudiannya mengenal pasti suspek sebenarnya anggota polis,” katanya di sini semalam.

 Mazli berkata, berdasarkan maklumat yang ada, kedua-dua pegawai dan anggota polis berpangkat ASP dan sarjan berkenaan telah diberkas di dua lokasi berasingan pada 3 dan 4 Februari lalu. 

 Tambah beliau, suspek turut ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. 

 “Saya ingin tegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat memandang serius penglibatan pegawai polis khususnya dalam Kontinjen Terengganu dalam perbuatan jenayah.

 “Kami komited menjalankan siasatan sewajar mengikut peruntukan undang-undang agar penjenayah biarpun siapa dapat dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

No comments:

Post a Comment