Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Rakyat negara ini perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan cuaca panas yang lebih panjang sehingga Jun depan disebabkan fenomena El Nino.
Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, berdasarkan cerapan dilakukan Pusat Ramalan Perubahan Cuaca (CPC) Amerika Syarikat, impak El Nino yang melanda kawasan khatulistiwa dan Pasifik Selatan termasuk negara ini pada waktu sekarang boleh berlarutan sehingga pertengahan tahun ini.
“CRC mendapati kebarangkalian fenomena El Nino akan berakhir antara bulan April hingga Jun depan adalah 79 peratus.
“Sebenarnya sukar untuk kita mendapat kepastian 100 peratus. Yang penting kita harus bersedia dan sentiasa memantau dapatan fenomena El Nino terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramal suhu bandar-bandar utama di negara ini akan melebihi 35 darjah Celsius sehingga bulan Mac depan ekoran impak fenomena El Nino.
Menjelaskan senario itu, Jing Xiang memberitahu, suhu tinggi tersebut disebabkan kelembapan yang terdapat daratan dan perairan negara ini akan dibawa keluar oleh El Nino ke Lautan Pasifik.
Beliau berkata, ia sekali gus mengurangkan taburan hujan dan mencetuskan cuaca kering dan panas di kebanyakan kawasan ini di negara ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, selepas El Nino berakhir pada pertengahan tahun ini, negara dijangka bakal merasai pula impak fenomena La Nina.
“Berdasarkan cerapan oleh CPC, kebarangkalian fenomena La Nina berlaku di Asia Tenggara termasuk negara kita adalah 55 peratus.
“Fenomena La Nina diramal berlaku antara bulan Jun hingga Ogos depan,” katanya.
Katanya, fenomena La Nina berkenaan akan menyebabkan Asia Tenggara lebih basah kerana kelembapan akan terbawa pula dari Lautan Pasifik ke rantau ini.
Jelas beliau, La Nina dengan kekuatan sederhana turut dijangka mempertingkatkan taburan hujan di negara ini.
“Kedua fenomena ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada cuaca negara ini yang banyak dipengaruhi oleh Monsun Barat Daya dan Timur Laut,” katanya.
No comments:
Post a Comment