Translate

Thursday, February 15, 2024

Jangan naikkan harga makanan musim cuti Tahun Baharu Cina

 MARANG – Golongan peniaga di Terengganu diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan sesuka hati sempena cuti musim perayaan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, tindakan tegas boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999. 

Katanya, pemantauan dan pemeriksaan secara berkala akan dilakukan ke atas premis makanan terutamanya di lokasi tumpuan pelancong sepanjang musim cuti perayaan dan persekolahan. 

 “Pasukan penguat kuasa KPDN akan melakukan semakan harga bagi memantau sebarang aktiviti pencatutan dan menaikan harga yang tidak munasabah dalam kalangan peniaga. 

“Kita menggalakkan pengguna membuat aduan rasmi bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan dilakukan,” katanya di sebuah pasar raya di Wakaf Tapai di sini semalam. 

Terdahulu beliau melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Terengganu. 

Saharuddin berkata, orang ramai perlu memainkan peranan lebih bijak sebagai pengguna dengan semakan harga di setiap premis makanan dikunjungi. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu setakat ini, KPDN Terengganu masih belum lagi menerima sebarang aduan rasmi berhubung kenaikan harga barangan berikutan tarif baharu air bermula awal bulan ini. 

“Begitupun, kami tetap pantau bagi memastikan tiada sebarang aktiviti pencatutan berlaku.

 “Sebenarnya aduan kenaikan harga barang pada musim tengkujuh ini agak berkurangan pada tahun ini,” katanya. 

 Saharuddin percaya ia disebabkan penganjuran Jualan Rahmah yang menawarkan barangan dapur pada harga sehingga 30 peratus lebih murah di semua kawasan dewan undangan negeri (DUN) setiap dua minggu. 

 Ujarnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 445 sesi program Jualan Rahmah dianjurkan melibatkan transaksi jualan kira-kira RM19.2 juta di Terengganu.

No comments:

Post a Comment