Translate

Tuesday, February 20, 2024

Ramai Orang Asli sudah daftar Padu

KEMAMAN – Tahap pendaftaran sistem Pengkalan Data Utama (Padu) dalam kalangan komuniti Orang Asli di Terengganu agak tinggi dengan mencapai hampir 100 peratus. 

 Pengarah Perangkaan Terengganu, Marlini Sahul Hamid berkata, berdasarkan program jelajah dilakukan di dua perkampungan Orang Asli di Sungai Berua, Hulu Terengganu dan Sungai Pergam, di sini mendapati sambutan diberi amat memberangsangkan.

 “Walaupun sebelum ini kefahaman dan kesedaran mereka terhadap sistem Padu agak rendah, kerjasama diberikan sangat baik. 

 “Sewaktu program jelajah di Sungai Berua misalnya, keseluruhan lebih 300 Orang Asli (yang layak mendaftar) hadir memberi maklumat (bagi mengisi) sistem Padu,” katanya ketika ditemui pada program jelajah Padu di Kampung Orang Asli Sungai Pergam, di sini semalam. 

 Program tersebut mendapat sambutan baik dengan sebahagian besar 480 penduduk perkampungan tersebut termasuk dihadiri Tok Batin, Roslan Semail untuk mendaftar sistem Padu. 

 Marlini berkata, pihaknya akan mengunjungi satu lagi perkampungan Orang Asli di Sungai Sayap, Besut dalam masa terdekat. 

 Beliau berkata, tiga perkampungan tersebut dihuni 1,072 Orang Asli terdiri daripada etnik Semaq Beri dan Jakun. 

 Dalam perkembangan sama, Marlini memberitahu, setakat Ahad lalu, seramai 156,509 orang atau 18.2 peratus penduduk Terengganu sudah mengemas kini maklumat mereka di dalam Padu. 

 “Kuala Terengganu dan Besut merupakan dua daerah tertinggi mendaftar Padu dengan masing-masing 34,760 dan 23,370 orang. 

 “Daerah terendah pendaftaran pula ialah Kuala Nerus (10,997) dan Hulu Terengganu (12,398),” katanya. 

 Marlini mengakui segelintir penduduk negeri Pantai Timur itu masih ragu-ragu untuk melakukan pendaftaran sistem Padu kerana masih tidak faham keperluan serta bimbang keselamatan data peribadi.

 “Sehubungan itu, Jabatan Perangkaan mengambil inisiatif turun padang bagi memberi penerangan berhubung sistem Padu,” katanya.

No comments:

Post a Comment