Translate

Monday, February 19, 2024

Saran 13 negeri tubuh jawatankuasa khas

 

KUALA TERENGGANU – Semua 13 kerajaan negeri disaran menubuhkan jawatankuasa khas memperkasa enakmen kesalahan syariah bagi memastikan isu mencabar undang-undang syariah membawa kepada pembatalan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini tidak berulang. 

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. menjelaskan, Jabatan Kehakiman Syarie hanya melaksanakan enakmen syariah yang telah digubal Dewan Undangan Negeri (DUN). 

 “Keperluan pelaksanaan hukuman bagi kesalahan syariah di setiap negeri adalah berbeza-beza. Jawatankuasa khas di peringkat negeri perlu bagi memberi input kepada jawatankuasa khas mengkaji kompetensi DUN untuk mengubal undang-undang Islam yang telah ditubuhkan di peringkat Persekutuan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam. 

 Ujar beliau, input di peringkat negeri mampu memberi cadangan terbaik bagi memperkasa mahkamah syariah untuk dipersembahkan kepada Majlis Kemajuan Islam (MKI). 

 “Bidang kuasa DUN untuk menggubal enakmen berkaitan syariah perlu lebih jelas. Ia bagi memastikan sebarang enakmen berkaitan kesalahan syariah yang digubal tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

 “Sehubungan itu, isu tersebut perlu diselesaikan menerusi penggubalan undang-undang berkaitan Perkara 1, Senarai II - Senarai Negeri dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen dengan kadar segera,” katanya. 

 Beliau turut mengakui Enakmen Kesalahan Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (Pindaan) 2022 mempunyai beberapa peruntukan yang mirip dengan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dibatal baru-baru ini. 

 Namun, tegas beliau, pendakwaan melibatkan peruntukan kesalahan berkenaan yang sedang berlangsung di mahkamah syariah negeri ini tetap diteruskan seperti biasa.

No comments:

Post a Comment